PARLIMEN | Ahli Parlimen bagan, Lim Guan Eng berkata kawasan parlimennya menerima peruntukan jauh rendah berbanding dua kawasan parlimen bersebelahan yang dimenangi Perikatan Nasional (PN).
Bercakap di Dewan Rakyat, Guan Eng berkata ia sekali gus menafikan dakwaan bahawa kawasan parlimen pembangkang dianaktirikan kerajaan.
"Kita selalu dengar daripada pembangkang bahawa kawasan mereka tak dapat peruntukan, macam ada diskriminasi.
Tapi saya nak beri sedikit angka, ini adalah kawasan daerah Seberang Perai Utara, di mana ada tiga kerusi parlimen, Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Bagan.
"Di sini, yang menerima peruntukan paling kurang ialah kawasan parlimen kerajaan iaitu Bagan," katanya semasa perbahasan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.
Dia turut memberi beberapa contoh di mana peruntukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di parlimen Kepala Batas adalah sebanyak RM8.5 juta, namun tiada peruntukan disalurkan kementerian itu di Bagan.
"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM3 juta kepada Kepala Batas juga tiada peruntukan untuk Bagan.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan RM 83 juta untuk Kepala Batas, cuma RM500,000 untuk Bagan.
"Ini bermakna jika bandingkan dua parlimen di daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas menerima 99.4 peratus daripada tiga kementerian ini berbanding cuma 0.6 peratus bagi Bagan.
"Saya rasa ini menunjukkan bahawa kawasan pembangkang tak dianaktirikan. Mana ada wujud diskriminasi. Sebaliknya, kawasan parlimen kerajaan yang berasa tak cukup peruntukan," katanya.
Sebelum ini, ahli-ahli parlimen pembangkang mendakwa dianaktirikan kerajaan apabila peruntukan pembangunan di kawasan mereka disekat.
Antara yang lantang mengkritik langkah itu ialah Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim.
Ahli parlimen bebas, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) juga mendakwa peruntukan di kawasannya ditarik balik selepas dia tidak lagi menyokong kerajaan pimpinan perdana menteri, Anwar Ibrahim dan keluar daripada blok kerajaan.
Ketiadaan peruntukan di kawasan pembangkang menyebabkan beberapa ahli parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada perdana menteri bagi mendapat peruntukan untuk disalurkan kepada rakyat di kawasan mereka.





