Selepas dikritik secara meluas susulan tindakannya mempertahankan aktiviti sebahagian anak muda Kelantan menjadikan kawasan balai pelepasan di terminal baru Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu sebagai lokasi melepak, seorang Adun tampil ‘garang’ dengan menganjurkan satu acara konvoi bermotosikal ke lokasi tersebut.
Berdasarkan poster dikongsinya di media sosial, Wan Rohimi Wan Daud memberitahu program tersebut bukan untuk menimbulkan kekecohan atau provokasi.
Sebaliknya kata Adun Melor tersebut, program Konvoi & Lepak Mat Motor bersama YB anjuran kelab penyokong kerajaan (BBC) dan Pemuda PAS Kelantan sekadar untuk “enjoy” dengan “cara ada kelas”.
“Pakat marii terr... petang tu kito ride santai jah… jumpa sain-sain, lepok santai biar ada suasano...
“YB YB pun ado skalii, buleh jumpa depan-depan..
“Buke nak buat kacau gapo… kito nak enjoy cara baik, cara ado kelas, nok ko suasana hujung minggu,” tulisnya.
Berdasarkan tentatif, peserta akan berkumpul di Masjid Muhammadi untuk solat Asar berjemaah, disusuli pergerakan konvoi yang bermula di kawasan DUN Kola Lama menuju ke LTSIP, Bandar Kota Bharu dan berakhir di sebuah pasar raya di bandar itu.
Terdahulu Wan Rohimi mencuri tumpuan selepas bangun mencelah perbahasan Adun Kota lama, Dr Hafidzah Mustakim, yang menyentuh isu anak muda melepak di kawasan lapangan terbang berkenaan semasa sesi sidang DUN, baru-baru ini.
Tenang-tenang, bukan merempit
Hafidzah berkata aktiviti melepak atau 'merempit' di LTSIP yang menjadi tular baru-baru ini mencemar nama baik Kelantan dan menjadi buah mulut yang mendukacitakan.
"Jadi tentunya amat malang sekiranya pintu masuk ke negeri Kelantan yang sudah diperuntukan sejumlah RM440 juta oleh kerajaan pusat untuk penambahbaikan sepatutnya menjadi satu kebangaan menaikan ekonomi kita tetapi mungkin disalahguna oleh sebahagian kecil anak muda kita," katanya.
Bagaimanapun Wan Rohimi yang juga Timbalan Exco Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Pembangunan Insan, Integriti dan Undang-undang itu mempertahankan aktiviti tersebut kerana beranggapan ia tidak menjadi kesalahan di sisi undang-undang.
Wan Rohomi yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Malaysia berkata, perkara itu sepatutnya disokong kerana suatu aktiviti yang baik, justeru tidak perlu diperbesar-besarkan.

"Isu anak muda melepak di lapangan terbang itu kita orang Kelantan tak perlu perbesarkan, dia duduk di situ pada ketika itu saja. Biarlah dia menikmati satu bangunan dan kemudahan yang baru, kenapa kita nak besar-besarkan?
"Dia pergi melepak saja, bukan pergi hisap dadah, bukan pergi buat jahat dan saya pun berasa nak melepak juga di situ,” katanya semasa mencelah dalam perbahasan Adun PH itu.
Mengulas program konvoi yang akan berlangsung esok, Wan Rohimi malah mengajak orang ramai supaya menyertainya dan melihat bangunan baru LTSIP.
"Yang penting jangan tekan minyak kuat sangat, kita ride santai ronda Kota Lama, tenang-tenang bukan merempit, patuhi peraturan jalan raya, lampu (isyarat) merah jangan langgar," katanya lagi.





