Pemuda Warisan menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap video tular yang menunjukkan kes pukul, sambil menekankan bahawa semua pihak tertaktuk kepada undang-undang, tanpa mengira status sosial.
"Individu yang mengambil undang-undang ke tangan sendiri dan menggunakan tindakan ganas harus bertanggungjawab atas perbuatan mereka.
"Dalam kes ini, penglibatan yang didakwa daripada seorang ahli perniagaan terkenal dalam serangan itu memberikan penekanan tambahan kepada pentingnya memelihara prinsip keadilan dan akauntabiliti, dan memastikan bahawa semua individu tunduk kepada standard undang-undang yang sama," kata ketua sayap itu, Terence Au dalam satu kenyataan.
Semalam, Malaysiakini melaporkan klip video yang mendakwa seorang ahli perniagaan terkenal Sabah telah terbabit dalam video itu. Ahli perniagaan itu bagaimanapun enggan mengulas ketika dihubungi.
"Saya tidak berminat untuk mengulas. Ini hal rumah tangga," kata ahli perniagaan itu.
Ketua Polis Sabah, Jauteh Dikun memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya akan menelitik klip video yang menunjukkan seorang lelaki memukul seorang individu lain, yang dipercayai pekerjanya, dengan kayu.
Au, yang menegaskan bahawa adalah penting bagi polis untuk mengambil tindakan, berkata prinsip keadilan mesti ditegakkan.
"Penting untuk diingatkan bahawa keganasan fizikal tidak pernah dibenarkan, tanpa mengira hubungan di antara individu yang terlibat.
"Sama ada si penyerang merupakan majikan atau luaran, terdapat undang-undang yang sedia ada untuk menangani perselisihan dan konflik secara berperadaban dan menurut undang-undang,” tambahnya.
Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin membuat gesaan serupa semalam menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara itu.