25.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 28, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Usahawan sumbang 30 laptop terpakai pada pelajar miskin tiap bulan

    Shopee Sale

    Seorang usahawan menyumbangkan lebih 30 komputer riba terpakai setiap bulan kepada pelajar kurang berkemampuan.

    Sejak penghujung tahun 2024, lebih 1,000 unit komputer riba terpakai telah disalurkan kepada pelajar yang memerlukan, selain bantuan kewangan berjumlah lebih RM50,000 kepada kira-kira 300 keluarga.

    Ivan Khong Hen Fung, 30, merupakan pengasas SCE Distributor Sdn Bhd, sebuah syarikat penjualan komputer terpakai di Cheras.

    Dikenali sebagai “Boss A” di platform TikTok, Ivan menarik perhatian warganet apabila sering turun ke sekolah-sekolah menengah di kawasan kampung sekitar Selangor bagi menyampaikan sendiri bantuan kepada pelajar memerlukan.

    Bercakap kepada Malaysiakini, Ivan berkata dia mula aktif menghasilkan kandungan di TikTok pada penghujung tahun 2024.

    Pada peringkat awal, kandungannya lebih tertumpu kepada pemasaran, namun kemudian dia memperkenalkan program lebih berteraskan komuniti iaitu program 4C — Cinta Sekolah, Cinta Diri, Cinta Negara dan Cinta Keluarga.

    Melalui inisiatif tersebut, Ivan bukan sahaja menyumbangkan komputer riba terpakai secara percuma, malah turut membantu keluarga pelajar dengan sumbangan tunai.

    "Pada permulaannya saya hanya beri RM200, sekarang sudah mencecah RM1000. Semuanya duit saya sendiri. Saya tidak dapat tajaan dari sesiapa," katanya.

    Menurut Ivan, setiap komputer riba terpakai yang disumbangkan dianggarkan menelan kos sekitar RM300 untuk proses baik pulih sebelum diberikan kepada pelajar.

    Belajar sendiri baiki komputer riba

    Berkongsi latar belakang kehidupannya, Ivan dibesarkan dalam keluarga sederhana dan pernah dijaga keluarga angkat selepas terpisah daripada keluarga kandung sejak kecil.

    Dia turut mengimbau pengalaman hidupnya yang sukar apabila tidak berkemampuan memiliki komputer riba kerana harganya yang mahal.

    "Keluarga saya tak mampu kerana ayah pemandu lori dan emak pula bekerja sebagai tukang jahit.

    MENARIK:  Poster Razman tanpa jawatan Pesuruhjaya PAS Perak jadi tanda tanya

    "Jadi setiap kali hujung minggu, saya akan ke rumah kawan untuk tumpang bermain permainan video,”katanya.

    Minat mendalam terhadap komputer mendorongnya untuk belajar sendiri kemahiran membaik pulih, memasang perananti dan memformat sistem operasi sejak usia 10 tahun melalui YouTube.

    "Saya akan simpan duit untuk beli komponen komputer secara beransur-ansur untuk jimatkan duit," katanya.

    Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Ivan memilih untuk tidak menyambung pengajian dan bekerja sebagai juruteknik di sebuah pusat servis komputer selama dua tahun.

    Pengalaman tersebut menjadi asas kepada penglibatannya dalam bidang baik pulih teknikal komputer sebelum dia beralih menjadi jurujual komputer riba di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

    Rancang bantu pelajar universiti

    Menurut Ivan, usaha yang dilakukan bukan sekadar bantuan material, tetapi juga bertujuan memberi inspirasi kepada generasi muda.

    “Saya berharap kandungan yang dihasilkan dapat memberi kesedaran kepada pelajar tentang pentingnya menghargai ibu bapa dan bersyukur dengan apa yang dimiliki,” ujarnya.

    Dia menambah, pendekatan melalui media sosial dilihat lebih berkesan dalam mendekati generasi muda yang mungkin sukar menerima nasihat secara langsung.

    Pada masa sama, Ivan merancang untuk memperluaskan bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi serta memperkenalkan program pembelian komputer riba secara ansuran mampu milik, serendah RM50 hingga RM90 sebulan.

    “Saya juga merancang kolaborasi melalui inisiatif "e-Dream Come True" bagi merealisasikan impian golongan kurang berkemampuan untuk memiliki perananti elektronik yang diperlukan dalam pelajaran,” katanya.

    Dengan usaha berterusan itu, Ivan berharap lebih banyak pihak tampil menyokong inisiatif seumpama ini agar tiada pelajar tercicir dalam pendidikan hanya kerana kekangan kewangan dan kekurangan akses kepada teknologi.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah