Pemuda Umno Sabah mendesak Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor supaya meletakkan jawatan susulan pendedahan dakwaan skandal rasuah melibatkan anggota dewan undangan negeri (Adun).
Ketua Pemuda Umno Sabah Sufian Abd Karim berkata, pihaknya menyuarakan kebimbangan serius terhadap isu-isu yang melibatkan Adun-Adun Sabah berkaitan skandal Sabah Mineral Management Sdn Bhd.
Katanya, berdasarkan video-video yang tular, terdapat dakwaan salah urus, penyalahgunaan kuasa, dan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pengurusan memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah dan Hajij mesti mengambil tanggungjawab penuh.
"Oleh itu, Pemuda Umno Sabah mendesak Hajiji meletakkan jawatan sebagai ketua menteri Sabah agar siasatan dapat dijalankan secara bebas dan telus tanpa mengganggu pentadbiran negeri.
"Satu siasatan menyeluruh dan bebas dilakukan terhadap organisasi Sabah Mineral Management Sdn Bhd
"Pendedahan hasil siasatan kepada rakyat Sabah kerana rakyat Sabah berhak mengetahui keadaan sebenar dan hasil siasatan dilaporkan untuk mengembalikan keyakinan rakyat Sabah terhadap pentadbiran negeri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.





