32.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 18, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kes wang aktiviti haram: Bekas PTD, isteri diserah 45 dokumen mahkamah

    Shopee Sale

    Sebanyak 45 jenis dokumen termasuk rakaman percakapan dan penyata akaun bank telah diserahkan kepada pihak pembelaan dalam kes bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya Salwani Anuar @ Kamaruddin yang menghadapi pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan perkara berkenaan semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

    "Hari ini ditetapkan untuk sebutan serahan dokumen kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah. Untuk makluman mahkamah, satu set dokumen mengandungi kira-kira 45 dokumen termasuk rakaman percakapan dan penyata akaun bank telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

    "Dianggarkan tiga set dokumen akan diserahkan kepada pembelaan secara berperingkat dan pihak kami mohon tempoh masa sebulan hingga ke dua bulan untuk serahan seterusnya," kata Mahadi yang mengendalikan kes bersama TPR Farah Yasmin Salleh dan Natrah Fareha Rahmat.

    Peguam Aizul Rohan Anuar dan Fahmi Abd Moin yang mewakili pasangan suami isteri itu mengesahkan telah menerima dokumen tersebut.

    Azura kemudian menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes.

    Pada 22 Jan, Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga bank di lokasi berbeza, iaitu di Jalan Melaka, Bukit Damansara serta pusat bandar raya antara 2 Feb 2024 hingga 7 Nov 2025 dengan pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

    MENARIK:  Pengimport telur mohon prosiding hina mahkamah terhadap Azmin

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

    Pada tarikh sama, Salwani, 27, didakwa atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM50,000, RM7,000, RM10,000 dan RM10,000 yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank milik syarikat di sebuah bank cawangan Damansara Heights, Wisma UOA II di Kuala Lumpur, antara 24 Nov 2024 hingga 25 Nov 2025.

    Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1) (b) AMLATFPUAA dan dibaca bersama-sama Subseksyen 87(1)(a) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

    Pada 23 Jan, Muhammad Hafizuddeain didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang RM115,000 dan RM30,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di sebuah cawangan bank di Ampang Point, Ampang antara 2 Feb 2024 hingga 19 Mei 2025.

    Salwani turut dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 26 Jan atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM5,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di sebuah cawangan bank di Jertih dekat Besut, pada 16 Jan 2025.

    Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1) (b) AMLATFPUAA dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta serupa.

    Bagaimanapun, kes dihadapi pasangan suami isteri itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Kuala Terengganu telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah