Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa wujud pembohongan dalam kalangan pemimpin PAS berhubung kegagalan jalinan kerjasama melibatkan Perikatan Nasional (PN) dengan parti-parti Melayu-Islam yang lain.
Sambil mempersoalkan tindakan pimpinan PAS yang didakwa cuba menuding jari kepada pihak lain, sedangkan, katanya mereka sendiri terlibat dalam membuat keputusan di peringkat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MT PN).

"Yang bercakap tentang ukhwah dan perpaduan Islam sendiri berbohong. Padahal MT PN dihadiri mereka.
“Pengerusi Mesyuarat MT PN dari PAS. Timbalan Pengerusi salah seorangnya dari PAS. Setiausaha Agung dari PAS. Ketua Penerangan dari PAS. Bendahari dari PAS. Ketua Pemuda dari PAS. Naib Presiden PAS yang seorang lagi pun ahli MT PN.
“Tetapi naratif yang keluar tetap pembohongan juga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Untuk rekod pengerusi PN adalah Ahmad Samsuri Mokhtar manakala setiauasaha agungnya adalah Takiyuddin Hassan manakala Tuan Ibrahim pula adalah timbalan pengerusi PN.
PAS halang 'electoral pact', enggan lepas kerusi
Mengulas lanjut, Tun Faisal mendakwa kegagalan rundingan tersebut berpunca daripada keengganan pimpinan PAS untuk melepaskan kerusi di negeri-negeri bawah pentadbiran SG4 kepada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Dia mendedahkan bahawa Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang sebelum ini bersetuju dengan konsep pakatan pilihan raya (electoral pact), bertindak menghalang pelaksanaan tersebut daripada diperluaskan kepada parti di bawah Gagasan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).

"Bukan pemimpin Bersatu yang kata, jangan bagi Pejuang bertanding di negeri kami sebab negeri kami dah penuh.
“Bukan pemimpin Bersatu yang suruh Pejuang bertanding di Selangor, tetapi pemimpin PAS. Baru cakap mengenai Pejuang, pemimpin PAS sudah menolak mereka dari bertanding di negeri yang dikuasai PAS ke negeri lain yang pengerusi PNnya bukan dalam kalangan pemimpin PAS," katanya.
Selain itu, dakwanya, Tuan Ibrahim juga adalah pemimpin PAS yang tiba-tiba menghalang parti-parti bukan anggota PN untuk mengadakan electoral pact dengan PN.
“Tuan Ibrahim sendiri. Orang yang bercakap tentang ukhwah dan menuduh Bersatu menghalang usaha penyatuan sendiri yang kata 'tiada keputusan memperluaskannya kepada parti bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR)...'" katanya lagi.
Gagasan IPR yang diilhamkan oleh Muhyiddin Yassin merangkumi parti seperti Pejuang, Berjasa, Putra, Iman, dan Muda.
Tun Faisal turut mendakwa PAS gagal menghadiri dua pertemuan rasmi sebelum ini, selain jawatankuasa bagi membincangkan pakatan pilihan raya masih belum dibentuk oleh wakil PAS yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut.





