Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong mempertahankan dakwaan bahawa Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan terlibat dalam percubaan untuk menumbangkan kerajaan Negeri Sembilan.
Merujuk dakwaan dalam surat bertarikh 25 Mei daripada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kepada pemimpin PAS yang didakwa bocor, Woo, yang juga Ketua Pemuda PH, menolak dakwaan bahawa BN tidak mempunyai pilihan selain bertanding solo pada pilihan raya negeri akan datang.

Sebaliknya, Woo berkeras bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri Sembilan berpunca daripada pengkhianatan 14 Adun daripada Umno, yang dituduhnya cuba merampas pentadbiran negeri melalui pintu belakang.
“Apabila surat Muhyiddin mendedahkan segalanya, kini sesetengah pemimpin BN pula act victim dan memutarbelitkan bahawa mereka terpaksa bertanding solo kerana PH sudah merancang untuk bertanding kesemua kerusi.
“Ini adalah pembohongan dan penafian fakta yang sudah terang lagi bersuluh, malah hipokrit sangat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Pengkhianatan di Negeri Sembilan bukan sahaja melibatkan Adun biasa, tetapi juga seorang menteri kabinet yang juga timbalan presiden Umno, dakwa Woo.
Sambil menegaskan tiada mana-mana parti yang memaksa BN untuk melakukan pengambilalihan pintu belakang yang mencetuskan krisis di negeri itu, Woo menggesa gabungan itu untuk bertanggungjawab dan bukannya menyalahkan orang lain.
“Hanya dengan pembubaran DUN yang mengembalikan kuasa kepada rakyat, barulah kestabilan politik dapat dikembalikan dan dalang sebenar yang mengakibatkan berlakunya krisis bolehlah dihukum semaksimumnya,” katanya.
Malaysiakini sudah menghubungi Adun Rantau yang juga Menteri Luar Mohamad untuk mendapatkan maklum balasnya mengenai kenyataan Woo.
Perbincangan sebelum tarik balik sokongan
Menurut salinan surat yang dirujuk oleh Woo, Muhyiddin didakwa memperincikan beberapa pusingan perbincangan antara PAS, Bersatu, dan Umno sebelum Umno Negeri Sembilan menarik balik sokongan terhadap menteri besar ketika itu, Aminuddin Harun daripada PKR, pada 27 April.
Dalam surat itu, Muhyiddin berkata salah satu pertemuan sedemikian berlaku pada 24 April di ibu pejabat Bersatu dan dihadiri oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali, serta Adun PAS dan Bersatu yang sedang berkhidmat.
Pertemuan itu dipercayai diadakan untuk menandatangani akuan bersumpah.

Muhyiddin berkata perbincangan kemudian diteruskan di Hotel Pavilion Kuala Lumpur, yang turut disertai oleh “YB Datuk Seri Jalaluddin Hassan”, yang dipercayai merujuk kepada Pengerusi Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias, bersama-sama beberapa Adun daripada Umno.
Surat itu, yang dilihat oleh Malaysiakini itu, menyatakan bahawa persetujuan dicapai untuk 14 Adun daripada Umno untuk menarik balik sokongan terhadap Aminuddin terlebih dahulu sebelum lima Adun Perikatan Nasional (PN) negeri itu menyokong langkah berkenaan secara terbuka.
Menurut Muhyiddin, urutan itu dirancang untuk mengelakkan tuduhan bahawa PN sedang merancang langkah pintu belakang untuk menjatuhkan kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Selain Jalaluddin, yang juga adalah Adun Pertang, Muhyiddin tidak menamakan wakil rakyat Umno lain yang didakwa terlibat dalam perbincangan itu.
Merujuk kepada perkembangan berikutan sidang media pada 27 April yang mengumumkan penarikan balik sokongan Umno Negeri Sembilan, Muhyiddin mendakwa percubaan berulang kali untuk menghubungi Takiyuddin tidak mendapat jawapan.
Sidang media itu diketuai oleh Jalaluddin dan dihadiri oleh 12 Adun daripada Umno yang lain, tetapi tidak termasuk Mohamad.
Muhyiddin berkata tindakan PAS yang didakwa berdiam diri kemudian mendorong Bersatu untuk menarik balik sokongannya terhadap Umno, terutamanya selepas Umno memilih untuk kekal menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

“Pendirian Bersatu adalah jelas dan konsisten: sebarang kerjasama dengan Umno hanya boleh berlaku jika parti itu memutuskan hubungan dengan PH.
“Atas prinsip itu, dua Adun daripada Bersatu tidak mempunyai pilihan selain mengeluarkan kenyataan menarik balik sokongan terhadap 14 Adun daripada Umno pada 5 Mei selepas usaha gagal untuk mendapatkan maklum balas dan persetujuan daripada PAS dari 28 April hingga 5 Mei,” kata Muhyiddin dalam surat itu.
Hanya satu orang tengah
Pada 3 Mei lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah tidak adil untuk menuduh Mohamad sebagai dalang di sebalik tindakan BN Negeri Sembilan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin, yang juga pengerusi PH negeri.
Sambil menekankan bahawa Mohamad memainkan perananan sebagai orang tengah, Zahid berkata timbalan presiden Umno itu mencari jalan untuk menyelesaikan kebuntuan politik dan kerap mengadakan perbincangan dengannya untuk mencari jalan penyelesaian.

Pembubaran Dewan Undangan Negeri Sembilan, yang berkuat kuasa pada 5 Jun, berlaku hampir tiga tahun selepas pilihan raya negeri pada Ogos 2023, apabila pakatan PH-BN memperoleh kemenangan besar dengan meraih 31 daripada 36 kerusi di negeri itu.
PH memenangi 17 kerusi manakala BN memperoleh 14 kerusi, membolehkan gabungan itu mengekalkan kawalan ke atas kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Perikatan Nasional, melalui tiga calon PAS dan dua daripada Bersatu, memenangi baki lima kerusi untuk membentuk blok pembangkang negeri.





