Mahkamah menjatuhkan hukuman itu kepada Mohd Aiman Zaini Satar, 29, selepas dia mengaku bersalah dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mahkamah Sesyen hari ini mendenda dua individu masing-masing didenda RM4,000, selepas mengaku bersalah menyebarkan maklumat palsu berkaitan Budi Madani RON95 (Budi95) menerusi akaun TikTok.
Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu kepada seorang pemandu peribadi Mohd Aiman Zaini Satar, 29, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkannya dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu hantaran palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana orang pada 4 April lepas dan kemudiannya dilihat pada 5 April kira-kira 11 pagi di Aras 8, MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.
Mohd Aiman didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Ahmad Fuad berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh serius dan boleh menimbulkan keadaan huru-hara dalam negara.
“Kesan kepada apa yang kita komen ini, serius...boleh jadi huru-hara kadangkala. Ia boleh menimbulkan keadaan huru-hara jika perkara ini tidak ditangani. Hati-hati semasa memuat naik,” katanya.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Nazrul Nizam Mohd Zameri, manakala Mohd Aiman tidak diwakili peguam.
Terdahulu Mohd Aiman merayu hukuman terhadapnya diringankan atas alasan gaji sebagai pemandu peribadi tidak tetap, selain perlu menanggung isteri dan anak berusia dua tahun enam bulan yang menghidapi penyakit leukemia.
Sementara itu, Hakim Ahmad Fuad turut mengenakan denda RM4,000 terhadap seorang sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Romfazly Syam Mohd Mokhtar, 46 yang mengaku salah atas pertuduhan yang sama.
Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan itu pada 4 April dan kemudiannya dilihat pada 5 April kira-kira 11 pagi di Aras 8, MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.
Ahmad Fuad berkata Romfazlu Syam sepatutnya bertindak sebagai “ejen kerajaan” untuk menerangkan mengenai perananan dan dasar kerajaan kepada orang ramai dan perlu berhati-hati dengan sebarang hantaran yang dibuat di media sosial.
Kedua-dua lelaki itu kemudiannya membayar denda tersebut.





