Peguam Naimah Khalid mempersoalkan mengapa masih tiada perkembangan daripada pihak polis berhubung laporan terhadap Nurul Izzah Anwar, yang didakwa menggunakan firma perunding asing untuk menekan bekas perdana menteri Najib Razak kira-kira sedekad lalu.
Firma guaman Raj & Sach berkata siasatan polis terhadap Na’imah di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan menunjukkan layanan berbeza berbanding laporan polis terhadap Nurul Izzah, yang menurutnya masih belum diambil tindakan.
Seksyen 124B memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun bagi kesalahan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
“Dalam kes Nurul Izzah, e-mel domain awam mendedahkan kerjasama beliau dengan firma perunding Washington, Perseus Strategies, untuk melobi kerajaan AS bagi campur tangan terhadap Perdana Menteri pada masa itu.
“Namun, Bukit Aman tidak merakam sebarang kenyataan dan tidak memanggil saksi.
“Jika pelantikan firma perhubungan awam oleh seorang warganegara disiasat di bawah Seksyen 124B, maka tindakan mendapatkan campur tangan kerajaan asing juga wajar diberi perhatian yang sama,” kata firma itu dalam satu kenyataan hari ini.
Mereka turut mendakwa kes itu mencerminkan amalan pendakwaan terpilih terhadap individu yang tidak sehaluan dengan pihak pemerintah.
Manakala individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pihak eksekutif pula dilihat “membisu”.
Pada 2 Mac lalu, portal MalaysiaNow melaporkan kiriman emel pada 2016 melibatkan beberapa pemimpin kanan PKR, termasuk Nurul Izzah, menunjukkan dakwaan kerjasama parti itu dengan pihak asing, termasuk sebuah firma guaman dan syarikat perunding politik di Washington.

Kerjasama itu dikatakan bertujuan mencari jalan untuk memujuk Rumah Putih supaya meningkatkan tekanan politik terhadap kerajaan Najib yang ketika itu berdepan skandal kewangan global 1MDB.
Terdapat juga usaha untuk mendapatkan pembebasan Anwar yang ketika itu sedang menjalani hukuman penjara atas kes liwat.
Bekas naib presiden PKR, Sivarasa Rasiah, kemudian mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa komunikasi tersebut memang berlaku, namun menegaskan usaha melobi bagi pembebasan tahanan politik adalah sesuatu yang lazim dan “boleh diterima sepenuhnya”.
Pada 6 Mac, ahli perniagaan Albert Tei bersama beberapa individu lain membuat laporan polis berhubung perkara itu dan menggesa pihak berkuasa menyiasatnya di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan serta peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Laporan MalaysiaNow itu muncul selepas tersebarnya dokumen 13 halaman yang dipercayai "pelan komunikasi" pada Ogos tahun lalu, yang didakwa berkait usaha keluarga Allahyarham Daim Zainuddin mempertahankan reputasinya susulan tindakan undang-undang oleh SPRM.
Pelan dua tahun hingga pilihan raya umum akan datang itu menggariskan strategi yang dilihat bertujuan melemahkan naratif kerajaan dengan menggambarkan tindakan undang-undang terhadap Daim dan keluarganya sebagai bermotif politik, bukan usaha membanteras rasuah.
Dokumen tersebut tersebar dalam talian selepas Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata polis sedang menyiasat satu dakwaan konspirasi untuk memberi tekanan kepada Anwar dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Menurut Khalid, konspirasi itu melibatkan seorang “individu berpengaruh” yang menggunakan media antarabangsa, dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 124B selepas polis menerima laporan berhubung dakwaan itu pada 26 Feb.

Seorang wanita, dua anak Daim, dua peguam serta beberapa wakil sebuah firma komunikasi strategik antarabangsa dikatakan menghadiri mesyuarat dalam talian pada Julai tahun lalu bagi membincangkan pelan tersebut.
Na’imah, yang juga balu Daim, berulang kali menafikan wujud sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan, sambil menyifatkan kandungan laporan polis itu sebagai “palsu dan tidak masuk akal”.
Dalam kenyataan hari ini, peguam Na’imah turut mengecam kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, minggu lalu berhubung anak guam mereka.
Mereka menafikan dakwaan Kumar bahawa polis gagal menghubungi Na’imah dan anak-anaknya, serta menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak tepat dan mengelirukan.
“Hakikatnya, peguam telah memberikan maklum balas secara bertulis pada hari yang sama notis polis diterima. Anak guam kami sentiasa boleh dihubungi dan memberikan kerjasama penuh melalui peguam mereka,” kata mereka.

Pada 26 Mei lalu, Kumar berkata polis telah cuba menghubungi Na’imah dan anak-anak lelakinya sejurus selepas mereka dikaitkan dengan siasatan itu, namun mendapati mereka meninggalkan negara ini “tidak lama selepas” laporan dibuat.
Dia menambah kertas siasatan kes telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara selepas kenyataan daripada 17 saksi direkodkan, dan polis kini menunggu arahan lanjut.





