Majlis Syura Ulamak PAS menyerahkan isu hala tuju PN dan konflik dalaman Bersatu kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi mengambil tindakan sewajarnya.
Setiausahanya, Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap krisis dan konflik dalaman Bersatu yang dilihat memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan dan keyakinan terhadap hala tuju PN dalam membawa agenda penyatuan ummah.
"Dalam hal ini, Majlis Syura Ulamak menegaskan bahawa PAS akan terus istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan Islam, mendukung agenda penyatuan ummah serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan mana-mana individu atau kelompok.
"Sehubungan itu, Majlis Syura Ulamak telah membuat keputusan untuk menyerahkan perkara ini kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi mengambil tindakan yang sewajarnya, "selaras dengan dasar, prinsip dan kepentingan perjuangan parti," katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, hubungan PAS dan Bersatu dilihat tegang susulan pelbagai isyarat dihantar kedua-dua pihak melalui kenyataan sama ada secara berkias atau secara langsung.
Antara lain ia dikaitkan dengan isu penyingkiran Menteri Besar Perlis daripada PAS sebelum ini.

Pada 22 Mei lalu pertembungan terbuka kedua-dua pihak didedahkan kepada umum apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyerang Bersatu dengan pelbagai dakwaan, termasuk melibatkan aspek pilihan raya.
Menurut Abdul Hadi, apabila tiba waktu pilihan raya, Bersatu menampilkan lebih ramai calon berbanding petugas dan ia tidak boleh lagi diulang pada masa depan.
Abdul Hadi turut memaklumkan hubungan antara partinya dan Bersatu akan dikaji semula dan perkara itu akan diteliti oleh Majlis Syura Ulama PAS.
Nik Zawawi berkata, PAS berpandangan bahawa setiap keputusan politik mestilah dipandu oleh pertimbangan syarak, maslahah ummah, kestabilan negara dan keperluan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan politik yang berprinsip, matang dan bertanggungjawab.
"Majlis Syura 'Ulamak menyeru seluruh pimpinan, ahli dan pendukung perjuangan agar terus berpegang kepada adab berjemaah, memperkukuh kesatuan saf serta meletakkan kepentingan Islam, ummah dan negara sebagai keutamaan tertinggi.
“Semoga Allah SWT mengurniakan petunjuk, kekuatan dan kebijaksanaan kepada seluruh pimpinan dalam membuat keputusan yang terbaik demi agama, ummah dan negara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh.





