PRK NENGGIRI | Veteran Umno menyifatkan pencalonan bekas pemimpin Pemuda PAS sebagai calon Bersatu-PN di Nenggiri adalah penipuan kepada pengundi di kawasan berkenaan.
Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, berkata secara tidak langsung juga langkah politik diambil PAS itu telah memperlekehkan Bersatu sebagai rakan mereka sendiri.
Hal itu kerana, dakwa Mustapha, senarai nama yang dikemukakan Bersatu untuk diturunkan di kawasan tersebut telah ditolak oleh PAS kerana gagal memenuhi kriteria yang diingini.
"Pucuk pimpinan PAS dengan jelas menipu ahli dan penyokongnya di Nenggiri apabila mengizinkan timbalan ketua Pemuda PAS keluar dari PAS dan menyertai Bersatu dua hari sebelum pengumuman calon.
"Dalam hal ini PAS telah membelakangkan baiah ahli tanpa sebarang tindakan.
"Bersatu turut diperlekehkan PAS apabila beberapa nama tokoh Bersatu yang disebut sebelum ini sebagai senarai pendek calon telah tidak terpilih kerana gagal menepati piayawan PAS.
"PAS hilang keyakinan kepada orang Bersatu untuk dicalonkan kerana tidak percaya calon itu boleh menyaingi calon Umno/BN," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 29 Jul lalu, PN menamakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd Rizwadi Ismail, sebagai pertaruhan terbaik parti itu bagi mempertahankan kerusi DUN Nenggiri.
Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Kelantan, Mohd Nasuruddin Daud di Masjid Hijau Renok, Gua Musang.
Menurutnya, sebelum menyertai Bersatu, Mohd Rizwadi pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang.
Untuk rekod Mohd Rizwadi menyertai Bersatu dua hari sebelum pengumuman calon dibuat.
Mustapha mendakwa Bersatu juga dihina secara halus apabila pengumuman calon bagi kerusi yang diperuntukkan kepada mereka sebaliknya dibuat oleh pemimpin PAS.
"Sedangkan pemimpin kanan Bersatu hadir dalam majlis pengumuman itu.
"Jelaslah PAS sebenarnya mempersendakan Bersatu kerana PAS tidak ada rasa setiakawan terhadap Bersatu dalam PN.
"Calon Bersatu yang bertanding hanya calon copy and paste (salin dan tampal) PAS. Calon anak tumpang PAS ke dalam Bersatu," katanya lagi.





