Jabatan Peguam Negara menasihatkan kerajaan untuk meminda beberapa undang-undang bagi program parallel pathway.
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata isu tersebut akan dibincangkan lagi dalam mesyuarat kabinet akan datang.
Menjelaskan perkara itu dalam sidang media mingguannya, Fahmi yang juga menteri komunikasi bagaimanapun tidak memperincikan undang-undang mana yang perlu dipinda.
“Isu ini yang akan dibincangkan pada minggu depan, melibatkan pindaan kepada beberapa akta, tetapi belum dimaklumkan kepada jemaah menteri apa akta atau akta-akta khusus (akan dipinda).
"Jadi kita akan tunggu pembentangan kertas itu minggu depan," katanya di Putrajaya, hari ini.
Fahmi yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai turut menjelaskan isu program parallel pathway melibatkan pertindihan antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
"Doktor memperoleh kelayakan mereka melalui MMC manakala yang lain melalui MQA," tambahnya.
Bawa kes ke mahkamah
Dia turut menyebut bahawa Menteri Pengajian Tinggi, Zambry Abdul Kadir, telah menjelaskan salah faham berhubung keputusan berkaitan program itu di Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Tambahnya lagi, Zambry menjelaskan perjanjian sebelum ini bukanlah untuk membuka program ijazah perubatan penuh di UiTM, sebaliknya membenarkan program latihan (housemanship) untuk pegawai perubatan.
Sebelum ini, kerajaan berkata ia sedang berusaha sesegera mungkin untuk menyelesaikan kontroversi berhubung program parallel pathway.
Zambry berkata bahawa rangka penyelesaian yang dicadangkan untuk menangani isu itu telah dikemukakan kepada Peguam Negara untuk semakan.
Menurutnya Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini bertemu dengan Kementerian Kesihatan bagi mencari penyelesaian melibatkan aspek perundangan selain itu berkaitan pengiktirafan terhadap program-program perubatan ditawarkan di universiti.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad sebelum ini mengesahkan hasrat kerajaan untuk meminda Akta Perubatan bagi menyelaraskan perbezaan antara program parallel pathway dan ijazah perubatan tempatan.
Ia berlaku ketika wujud pertikaian sama ada MMC akan mengiktiraf atau tidak kelayakan parallel pathway dan graduan perubatan genetik untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan.
Sebelum ini MMC menolak permohonan empat pakar bezah kardiotoraks untuk disenaraikan dalam daftar berkenaan.
Situasi itu mencapai kemuncaknya apabila empat pakar bezah kardiotoraks yang diiktiraf oleh Royal College of Surgeons of Edinburgh, bersama enam graduan Universiti Sains Malaysia, memfailkan tuntutan mahkamah mencabar MMC berhubung isu pengiktirafan kelayakan.
Konflik parallel pathway tidak menunjukkan tanda-tanda reda kerana pihak berkepentingan menunggu cadangan pindaan yang berpotensi merapatkan jurang kelayakan.





