29 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 1, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    PANDUANKINI | Menyingkap kembali kes kehilangan paksa Koh, Amri

    Shopee Sale

    Pada 5 November, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan keputusan penting dalam dua kes kehilangan paksa yang berasingan.

    Keluarga kedua-dua mangsa — Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat — menyambut keputusan itu sebagai kemenangan besar bagi mereka yang selama ini disenyapkan dan dizalimi oleh penyalahgunaan kuasa kerajaan Malaysia.

    Panduankini merungkai latar belakang kehilangan Koh dan Amri serta perjuangan panjang keluarga mereka mencari keadilan.

    Apa itu kehilangan paksa?

    Pada tahun 2019, siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memutuskan Koh dan Amri mangsa kehilangan paksa, seperti yang ditakrifkan dalam Konvensyen Antarabangsa Perlindungan Semua Orang daripada Kehilangan Paksa (ICPPED).

    Artikel 2 konvensyen itu mendefinisikan kehilangan paksa sebagai penangkapan, penahanan, penculikan atau sebarang bentuk perampasan kebebasan oleh ejen negara atau oleh individu yang bertindak dengan kebenaran, sokongan atau restu pihak berkuasa.

    Konvensyen ini diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2006 namun Malaysia masih belum menjadi penandatangan perjanjian tersebut.

    Siapakah Raymond Koh dan Amri Che Mat?

    Raymond Koh, seorang pastor evangelis, dilaporkan hilang pada 13 Februari 2017 secara terang-terangan di siang hari. Rakaman CCTV menunjukkan dia diculik oleh sekumpulan 15 lelaki di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya.

    Beberapa pihak mengaitkan kehilangan Koh dengan tuduhan cuba memurtadkan umat Islam.

    Sementara itu, Amri Che Mat, seorang aktivis yang dikatakan menyebarkan ajaran Syiah, dilihat kali terakhir sekitar tengah malam 24 November 2016 di Jalan Padang Behor, Kangar, Perlis. Saksi mendakwa Amri diculik dan dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan yang kemudian menghilang.

    Sebelum kehilangan itu, pihak berkuasa agama negeri telah memantau aktiviti Amri kerana mencurigai NGO yang diterajuinya Perlis Hope, digunakan untuk menyebarkan ajaran Syiah — mazhab yang diharamkan di Malaysia.

    Bagaimana kerajaan bertindak?

    Selepas kehilangan kedua-dua mangsa, polis menjalankan siasatan dan meneliti pelbagai petunjuk termasuk dakwaan bahawa penculik Koh mempunyai kaitan dengan penyeludup di Thailand.

    Namun, tiada petunjuk kukuh ditemui. Isu ini turut dibincangkan dalam mesyuarat kabinet dan ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Joseph Kurup mengunjungi keluarga Koh untuk memberi jaminan bahawa kes tersebut menjadi keutamaan kerajaan.

    Akhirnya, keluarga kedua-dua mangsa menggesa siasatan bebas. Pada Oktober 2017 dan Januari 2018, Suhakam melancarkan siasatan awam terhadap kehilangan mereka.

    Gambar fail, isteri Koh (Susanna Liew) dan isteri Amri (Norhayati Ariffin) pada sesi siasatan Suhakam.

    Penemuan Suhakam yang menyalahkan kerajaan dan polis mendorong Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan Pasukan Petugas Khas (STF) untuk menyiasat semula kes itu.

    Selepas itu, isteri Koh (Susanna Liew) dan isteri Amri (Norhayati Ariffin) masing-masing memfailkan saman sivil terhadap kerajaan dan polis, menuntut pertanggungjawaban atas kehilangan suami mereka.

    Mengapa mahkamah mendapati kerajaan bertanggungjawab?

    Pada 5 November 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan bersejarah — mengisytiharkan kerajaan bertanggungjawab atas penculikan kedua-dua mangsa serta mengarah siasatan dibuka semula.

    Dalam keputusannya, Hakim Su Tiang Joo mendapati tindakan menculik Koh menunjukkan pembabitan pihak berkuasa dan keadaan sekitar penculikan serta penyembunyian maklumat menguatkan hujah pihak plaintif.

    Bagi kes Amri pula, Su menegaskan pihak defendan gagal membuktikan ia hanyalah kes orang hilang biasa. Hakim itu turut mengkritik pihak berkuasa kerana melengah-lengahkan siasatan, tidak mematuhi garis panduan sedia ada dan menguruskan bukti DNA secara cuai.

    Hakim Su menekankan bahawa kuasa yang diberikan kepada polis mesti disertai dengan pertanggungjawaban dan penyalahgunaannya perlu diperbetulkan melalui undang-undang.

    Mahkamah mengarahkan kerajaan membayar RM3 juta kepada isteri Amri, RM6 juta kepada isteri Koh, serta bayaran tambahan RM10,000 sehari dikira dari tarikh kehilangan Koh sehingga dia ditemui.

    Kenapa Suhakam juga tuding kerajaan?

    Keputusan mahkamah minggu lalu selaras dengan dapatan siasatan Suhakam 2019, yang mendapati kerajaan dan polis cuai serta terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam kehilangan tersebut.

    Panel Suhakam mendapati Koh dan Amri dipantau oleh pihak berkuasa agama serta agensi kerajaan sebelum diculik.

    Pada Mei 2018, Norhayati memberi keterangan bahawa seorang bekas pegawai Cawangan Khas Bukit Aman pernah mengaku kepadanya bahawa rakan-rakannya terlibat dalam penculikan suaminya dan Koh.

    Walaupun pegawai itu kemudiannya menafikan kenyataannya, pelbagai bukti lain menunjukkan kemungkinan besar penglibatan polis.

    Suhakam turut mendedahkan bahawa polis berusaha menutup kaitan mereka dengan seorang bekas kontraktor SB bernama Saiful Bahari, saksi utama yang enggan memberi keterangan. Kereta Toyota Vios berwarna emas milik Saiful turut dikaitkan dengan kedua-dua penculikan itu.

    MENARIK:  Kritik pemilihan U Mobile - PKR heret Hassan Karim ke lembaga disiplin

    Pada Oktober 2018, polis mengeluarkan waran tangkap terhadap Saiful namun sehingga kini dia masih hilang.

    Apa dapatan Pasukan Petugas Khas?

    Kementerian Dalam Negeri menubuhkan Pasukan Petugas Khas (STF) pada Jun 2019 yang diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abdul Rahim Uda untuk menyiasat semula kes ini.

    Laporan STF diserahkan kepada KDN pada 2020 namun diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan tidak didedahkan kepada umum.

    Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan Norhayati akses terhad kepada laporan tersebut bagi menyokong tuntutannya.

    Pada September 2024, petikan laporan STF yang dibacakan di mahkamah mengesahkan bahawa Koh dan Amri diculik oleh anggota polis “di luar kawalan” (rogue officers) yang bertindak sendiri, dengan Saiful Bahari dinamakan sebagai suspek utama.

    Laporan itu juga mengakui kecuaian polis kerana gagal mengesan Saiful dan kerana mengklasifikasikan kehilangan Amri sebagai kes orang hilang biasa, bukan penculikan.

    STF mengesyorkan agar siasatan semula dijalankan dengan penglibatan badan bebas.

    Kepentingan keputusan Mahkamah Tinggi KL

    Selain membuka ruang keadilan kepada keluarga mangsa, keputusan 5 November itu juga menuntut akauntabiliti lebih besar daripada kerajaan.

    Namun, pada 6 November, Peguam Negara Dusuki Mokhtar menyifatkan keputusan itu sebagai “kesilapan penghakiman” dan mengumumkan rayuan akan difailkan. Dia juga memohon penangguhan pembayaran RM10,000 sehari kepada keluarga Koh selagi pastor itu belum ditemui.

    Tindakan itu mengundang kritikan pelbagai pihak yang menggesa kerajaan supaya tidak meneruskan rayuan.

    Pada 10 November, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa keputusan AGC berada di luar bidang kuasa kementeriannya namun menegaskan bahawa polis akan mematuhi arahan mahkamah untuk membuka semula siasatan.

    Saifuddin turut mengakui penemuan siasatan Suhakam 2019 dan STF 2020 yang menunjukkan unsur kehilangan paksa dalam kes Koh dan Amri.

    Tegasnya walaupun kes ini diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, kerajaan kini tidak boleh berlengah untuk bertindak.

    Beberapa pemerhati pula memberi amaran bahawa rayuan Peguam Negara boleh menjejaskan kepercayaan awam terhadap kerajaan dan dianggap sebagai pengabaian terhadap pelanggaran hak asasi manusia.

    Susanna Liew, isteri Koh, turut menentang keras tindakan rayuan itu, menegaskan semua siasatan terdahulu menunjukkan kesimpulan yang sama — kerajaan perlu bertanggungjawab dan bertindak atas cadangan Suhakam serta laporan STF yang kini disokong keputusan mahkamah.

    Kehilangan serupa

    Pada 2020, Suhakam turut menjalankan siasatan terhadap kehilangan pasangan Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu, yang hilang sejak 30 November 2016 namun hanya dilaporkan pada 6 Mac 2017.

    Panel itu memutuskan pada 2022 bahawa tiada bukti penglibatan ejen negara, tetapi tetap menegur kecuaian polis dalam menjamin perlindungan sama rata di bawah undang-undang, tanpa mengira agama.

    Suhakam mengesyorkan agar prosedur operasi standard (SOP) polis diperbaharui bagi kes penculikan atau kehilangan paksa, serta mengulangi gesaan agar Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan.

    Kehilangan Joshua dan Ruth (gambar atas) turut menimbulkan syak wasangka terhadap campur tangan pihak berkuasa agama, kerana pasangan itu didakwa aktif menyebarkan ajaran Kristian. Mereka juga dilaporkan menerima panggilan ugutan sebelum hilang.

    Joshua, rakyat Malaysia yang asalnya beragama Islam, memeluk Kristian di Singapura pada 2003 manakala isterinya, Ruth, warganegara Indonesia dari keluarga Kristian. Sebelum itu, Joshua pernah diburu oleh pihak berkuasa agama berhubung status agamanya.

    Pada April 2025, sebuah NGO tempatan, Citizens Against Enforced Displacement (Caged), melaporkan kehilangan Pamela Ling sebagai satu lagi kes kehilangan paksa berpotensi, dengan modus operanandi hampir sama seperti Koh dan Amri.

    Ling diculik oleh dua lelaki yang mendakwa sebagai pegawai polis ketika dalam perjalanan ke Putrajaya untuk membantu siasatan rasuah dan pengubahan wang haram oleh SPRM.

    Hingga kini, keberadaan Pamela Ling masih tidak diketahui — sama seperti kes-kes kehilangan lain yang terus menghantui keadilan di Malaysia.

    [Baca laporan asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah