Gerakan hari ini menzahirkan sanjungan tinggi mereka kepada Pengerusi PN merangkap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, yang dianggap mempunyai pelbagai keistimewaan.
Presiden Gerakan, Dominic Lau, berkata antara “kelebihan tersembunyi” yang ada pada Ahmad Samsuri itu baru disedarinya semalam.
Menyatakan kekaguman terhadap Ahmad Samsuri itu, Lau berkata antara kelebihan Naib Presiden PAS ialah memiliki gaya kepimpinan teknokrat yang sangat tersusun sehingga mampu mempengerusikan mesyuarat dengan “ringkas, tepat dan terus kepada isi penting”.
“Rupanya beliau juga ada satu lagi kelebihan tersembunyi.
“Setiap kali ahli Gerakan mahu selfie dengannya, Dr Sam tidak kekok langsung. Malah beliau sendiri akan mengambil telefon bimbit mereka dan membantu mengambil selfie bersama,” katanya.
Pandangan Lau itu hadir ketika PN dibayangi krisis di antara PAS dan Bersatu – yang menjadi dua parti utama gabungan pembangkang. Parti lain yang menganggotai gabungan tersebut ialah Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Pada Jumaat lalu PAS mengejutkan ramai orang apabila secara terbuka mengkritik Bersatu yang dianggap tidak menghormati semangat setia kawan dalam PN. Kritikan keras itu dibuat oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Antara isu yang disentuh Abdul Hadi ialah krisis kerajaan Perlis yang menyaksikan jawatan menteri besar terlepas kepada Bersatu, serta kegagalan PN menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Rasional, fokus dan santai
PAS juga membangkitkan isu Bersatu yang didakwanya lebih berminat meletakkan ramai calon pilihan raya walaupun tidak mempunyai jentera yang kuat.
Untuk rekod PAS kini mendominasi PN dengan mengisi sebahagian besar jawatan penting. Selain Ahmad Samsuri yang menjadi pengerusi, PAS juga menyandang jawatan setiausaha agung, bendahari agung, ketua penerangan, dan ketua pemuda.
Bagaimanapun Abdul Hadi tidak berada dalam Majlis Tertinggi PN.
Lau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata Ahmad Samsuri mempunyai gaya yang semula jadi, selain mahir mengambill gambar dari sudut yang cantik bersama senyuman yang cukup mesra yang terangkum menjadikan dia seperti seorang profesional.

“Sikap mesra rakyat, tidak berjarak dan tidak kekok bergaul ini perlahan-lahan menjadi signature character beliau.
“Dalam mesyuarat, beliau seorang pemimpin yang profesional, rasional dan fokus kepada penyelesaian, tetapi apabila bersama rakyat, beliau tampil cukup santai, mudah didekati dan penuh kemesraan,” katanya.
Kadang-kadang, tambah Lau, rakyat mahukan seorang pemimpin yang tidak sekadar pandai berkata-kata semasa mesyuarat.
Apa yang diinginkan rakyat, katanya, ialah pemimpin yang sudi mendekati rakyat, mendengar dan berinteraksi bersama mereka.
“Kadang-kadang, satu selfie yang ikhlas, satu senyuman yang mesra lebih menyentuh hati daripada seribu ucapan politik,” katanya.





