Kerajaan Selangor menangguhkan penguatkuasaan garis panduan bagi tahun 2025 berhubung kelulusan permohonan baru rumah ibadat bukan Islam di lot kedai komersial.
Sebaliknya, garis panduan yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa itu akan diteliti semula oleh kerajaan negeri melalui rundingan bersama persatuan agama, kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Bukan Islam, Ng Sze Han, malam tadi.
“Satu mesyuarat akan diadakan pada awal Jun. Tiada tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan sepanjang proses semakan ini berlangsung.
“Kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan penyelarasan pentadbiran dan teknikal ini melalui dialog yang membina, bagi memastikan Selangor kekal sebagai negeri yang progresif, adil dan inklusif untuk semua,” kata Ng yang juga exco kerajaan negeri.
Terdahulu pada hari yang sama, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, menyuarakan kebimbangan terhadap dua peruntukan dalam garis panduan yang diluluskan mesyuarat exco pada 12 Nov 2025, yang menurutnya boleh memberi implikasi besar terhadap aktiviti keagamaan di seluruh Selangor.

Menurutnya, Perenggan 6 di bawah “KM: 4-3 Rumah Ibadat Selain Islam (RISI)” menyatakan bahawa “Penempatan dalam kawasan yang ditetapkan sebagai zon komersial adalah tidak dibenarkan”.
Perenggan 7 pula menyatakan bahawa “Penukaran bangunan sedia ada kepada kegunaan RISI adalah tidak dibenarkan”.
“Umum mengetahui bahawa sejak bertahun-tahun lalu, akibat kekurangan tanah yang diwartakan untuk tujuan RISI, sebahagian pusat keagamaan beroperasi di kawasan komersial atau perindustrian sambil umumnya hidup secara aman dengan komuniti setempat.
“Daripada memperhebat usaha menangani kekurangan tanah yang berlarutan bagi rumah ibadat bukan Islam, mengapa perlu memperkenalkan sekatan terhadap pengaturan yang selama ini tidak banyak menimbulkan masalah?” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Jurucakap pejabat menteri besar dilaporkan menjawab kenyataan Lee dengan berkata garis panduan itu dibuat berdasarkan maklum balas yang diterima pihak berkuasa tempatan daripada penduduk berhampiran kawasan komersial.
Jurucakap itu berkata, peraturan baru bertujuan menambah baik kemudahan trafik dan parkir kerana kawasan komersial mempunyai ruang terhad dan mungkin tidak mampu menampung keperluan komuniti keagamaan, menurut laporan Free Malaysia Today.
Peraturan itu hanya terpakai kepada pembangunan baru dan tidak akan menjejaskan rumah ibadat yang sudah beroperasi di premis komersial atau premis lain.
“Pada masa hadapan, setiap kawasan baru yang dibangunkan untuk tujuan perumahan akan mempunyai tanah yang diwartakan bagi rumah ibadat Muslim dan bukan Muslim,” kata jurucakap itu.





