Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Mohd Nizam Jaffar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang berjumlah RM752,481.90 serta pecah amanah wang RM3 juta.
Mohd Nizam, 59, mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan hakim Rosli Ahmad.
"Faham pertuduhan Yang Arif, tidak mengaku salah,” katanya yang memakai sut lengkap berwarna hitam selepas pertuduhan dibacakan satu persatu.
Terdahulu, dia yang bertongkat tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 8.20 diiringi beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Nizam didakwa sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) telah menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM267,481.90 bagi dirinya sendiri.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan melantik Sinar Bakti Global untuk menjalankan kerja pembekalan kain pelikat untuk bungkusan barang hari raya bagi 2025, dengan bernilai RM468,000.
Tertuduh juga melantik Sinar Raudhah Global untuk menjalankan kerja pembekalan kain batik untuk bungkusan barang hari raya bagi tahun sama, bernilai RM52,000.
Sebuah lagi syarikat, Zahra Jaya Global, pula dilantik untuk menjalankan kerja pembekalan multifunctional folding fliers untuk bungkusan barang hari raya bernilai RM750,000 kepada TKAT.
Tertuduh didakwa mempunyai kepentingan dalam syarikat terbabit.
Dituduh terima RM200,000
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa sebagai AKSPA ATM mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif TKAT menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM285,000 bagi dirinya dengan melantik QMZ Resources untuk kerja pembekalan tuala mandi bagi bungkusan barang hari raya 2025 RM600,000.
Dia juga didakwa melantik Helmee Resources untuk menjalankan kerja pembekalan beg galas bagi bungkusan berkaitan hari raya bernilai RM1,725,000 kepada TKAT, dan tertuduh mempunyai kepentingan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah pada 24 Jun 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 – mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nizam didakwa sebagai AKSPA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT telah melakukan pecah amanah wang berjumlah RM3 juta milik TKAT dengan menyalahgunakan wang itu bagi membuat pelaburan tambahan di dalam syarikat Precious Amber International Bhd tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama, pada 4 Okt 2024, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan keempat, Mohd Nizam didakwa sebagai PAT ATM menerima wang berjumlah RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah Syarikat Aspen Red Sdn Bhd yang mungkin ada kaitan dalam urusan yang akan dijalankan olehnya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah, pada Mac 2025, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, manakala Mohd Nizam diwakili Peguam Abdul Aziz Hamzah.





