Pengerusi Gabungan NGO Islam (Gabung), Aminuddin Yahaya menjelaskan kandungan buku memoir Shamsiah Fakeh tidak mempunyai sebarang elemen negatif dan sensitif.
Malah dia menyatakan rasa kagum dengan keberanian dan kecekalan tokoh wanita Parti Komunis Malaya (PKM) itu selepas membaca dua buku mengenainya.
“Sejujurnya saya ada memiliki buku ini dan saya tidak dapati apa-apa elemen negatif dan sensitif di dalamnya. Tidak pasti kenapa ia diharamkan.
“Saya telah membaca dua buah buku tentang Shamsiah Fakeh ini dan saya sebenarnya amat kagum dengan keberanian dan kecekalan beliau,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertahankan tindakan drastik mengharamkan dua buah buku berkaitan sejarah PKM, dengan menegaskan bahawa penilaian keselamatan dilakukan berdasarkan landskap politik semasa, dan bukannya tarikh sesuatu naskhah itu diterbitkan.
Penjelasan tersebut hadir selepas kementerian itu menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin parti pemerintah sendiri, yang menyifatkan pengharaman itu sebagai satu langkah mundur dan tidak masuk akal bagi sebuah kerajaan yang membawa naratif "Madani".
Dua naskhah yang menjadi sasaran ialah Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10—sebuah buku yang sudah berada di pasaran sejak 22 tahun lalu—dan Komrad ASI (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah yang diterbitkan pada 2022.
KDN mendakwa wujud kecenderungan mutakhir untuk "menormalisasi serta mengagung-agungkan" fahaman komunisme secara terbuka.
Kementerian itu juga turut menolak dakwaan bahawa mereka sedang menyekat kebebasan intelektual, sebaliknya menyifatkan ia sebagai "langkah pencegahan" bagi melindungi keharmonian masyarakat daripada ideologi yang bertentangan dengan undang-undang negara.
Terdahulu penerbit Gerakbudaya mengesahkan pihaknya diberikan notis daripada KDN mengenai pengharaman buku yang mengisahkan perjuangan tokoh PKM.
Sementara itu, Aminuddin berkata baginya bukan fikrah Shamsiah itu yang harus diikuti tetapi keberaniannya menghadapi pelbagai dugaan dan rintangan adalah sesuatu yang sangat unik.
“Boleh dikatakan tidak ada wanita hari ini yang sanggup berkorban seperti beliau demi perjuangan ideologi.
“Jangan lihat dari segi perjuangan bersama komunis tetapi lihat bagaimana kekentalan jiwa beliau,” katanya yang juga bekas presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Dia turut berkongsi minatnya membaca sejarah tokoh-tokoh lain seperti Nelson Mandela, Aung San Suu Kyi, Lee Kuan Yew, Steve Jobs, Lee Chong Wei, Barrack Obama dan Dr Mahathir Mohamad.
“Saya dapati mereka ini semua mempunyai karakter yang sama iaitu jelas matlamat hidup dan sanggup bekerja keras mencapainya walaupun hadapi pelbagai kesukaran.
“Saya berpendapat jika mana-mana individu yang mempunyai kedua-dua sifat ini maka nescaya dia akan dapat kejayaan di satu hari nanti. Renungkanlah,” ujarnya lagi.





