Parlimen Bachok Syahir Sulaiman mencabar bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli untuk membuktikan keberaniannya dengan mempamerkan "demo sebenar" dalam himpunan #TangkapAzamBaki yang dijadualkan pada Sabtu, 25 April ini.
Setiausaha politik kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang itu berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Rafizi semalam yang menyelar kumpulan demonstrasi tertentu sebagai "penakut" dan mengajak rakyat mempamerkan keberanian dalam protes berkenaan.
“Kerahkan rakyat dan anak muda turun ke Dataran Merdeka. Berhimpunlah secara aman. Ini negara demokrasi.
“Ya, ‘Tangkap Azam Baki’, itulah slogan yang pernah dilaungkan Rafizi sebelum bergelar menteri.
“Namun setelah menjadi menteri, beliau ‘terpaksa’ berdiam diri apabila kontrak Azam disambung oleh Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) katanya katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Syahir berkata, ketika itu, ramai anak muda, khususnya generasi X dan Y menyokong PH/PKR kerana Rafizi.
Isyarat warna baju
Mengulas lanjut, dia mendakwa PKR kini seolah-olah sedang berkira-kira untuk mengenepikan Rafizi yang dianggap sudah bertukar daripada aset terbesar parti menjadi liabiliti.
Ahli Parlimen Bachok itu turut menyatakan minat untuk melihat pilihan warna pakaian yang akan digayakan oleh bekas timbalan presiden PKR itu dalam himpunan tersebut, yang menurutnya mungkin membawa isyarat hala tuju politik bekas menteri berkenaan.
"Jika biru muda, hatinya masih setia PKR; jika kuning, cenderung aktivisme NGO; jika hitam, isyarat wadah politik baharu; jika putih, memilih jalan bebas dalam PRU16.
"Kepada Rafizi, saya titipkan nasihat: 'Lawan Terus' – bukan lawan sekejap, bukan keluar sekejap," kata Syahir.
Menurutnya, Rafizi kini berada di posisi berbeza, tampil sebagai pengkritik tegar kepada Anwar.
“PKR pula sedang berkira-kira hendak ‘melupuskan’ aset terbesar mereka, yang dianggap sudah bertukar menjadi liabiliti.
“Entahkan siapa yang untung, siapa yang rugi, rakyat tidak peduli,” katanya.





