Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata Israel dan Lubnan bersetuju memulakan gencatan senjata selama 10 hari pada 5 petang waktu EST (2100 GMT), menandakan jeda dalam konflik Israel dengan Hizbullah yang berlaku seiring dengan peranang terhadap Iran, lapor Reuters.
Kenyataan Trump yang dimuat naik di Truth Social tidak menyatakan tarikh gencatan senjata itu akan bermula, namun seorang pegawai AS berkata ia akan bermula pada Khamis.
Pakistan sebelum ini menyatakan keamanan di Lubnan penting bagi rundingan yang dimediasinya untuk menamatkan peranang antara AS dan Iran.
Ahli Parlimen kanan Hizbullah Hassan Fadlallah memberitahu Reuters bahawa kumpulan itu dimaklumkan oleh Duta Iran ke Lubnan bahawa gencatan senjata selama seminggu boleh bermula pada petang Khamis.
Apabila ditanya sama ada Hizbullah akan komited terhadap gencatan senjata itu, Fadlallah berkata segala-galanya bergantung kepada komitmen Israel untuk menghentikan semua bentuk permusuhan, sambil mengiktiraf usaha diplomatik Iran dalam kemungkinan tercapainya gencatan senjata itu.
Trump berkata beliau telah mengadakan perbincangan yang sangat baik dengan Presiden Lubnan Joseph Aoun dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Sumber kabinet Israel berkata kabinet keselamatan Netanyahu telah mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan gencatan senjata di Lubnan.
Perang AS-Israel terhadap Iran merebak ke Lubnan pada 2 Mac apabila Hizbullah melancarkan serangan sebagai tanda sokongan kepada Tehran, sekali gus mencetuskan serangan Israel di Lubnan hanya 15 bulan selepas konflik besar terakhir.
Serangan Israel telah mengorbankan lebih 2,100 orang di Lubnan sejak 2 Mac dan memaksa lebih 1.2 juta penduduk melarikan diri, menurut pihak berkuasa Lubnan.
Serangan Hizbullah pula mengorbankan dua orang awam Israel, manakala 13 anggota tentera Israel terbunuh di Lubnan sejak 2 Mac, menurut Israel.
Seorang pegawai keselamatan Israel berkata tentera Israel tidak merancang untuk mengundurkan pasukan dari selatan Lubnan sepanjang tempoh gencatan senjata itu.
Trump dalam satu lagi hantaran media sosial berkata beliau akan menjemput Netanyahu dan Aoun ke Rumah Putih untuk mengadakan “perbincangan bermakna.”
- Reuters





