United Kingdom (UK) dan Perancis pada Jumaat mengumumkan kesediaan untuk mengerahkan misi ketenteraan pelbagai negara bagi menjamin keselamatan pelayaran di Selat Hormuz, meskipun Iran berulang kali memberi amaran supaya tiada kehadiran kuasa asing di laluan perairan strategik itu, lapor Anadolu Ajansi.
"Selat Hormuz merupakan laluan penting kepada ekonomi global," kata Perdana Menteri Britain Keir Starmer dan Presiden Perancis Emmanuel Macron dalam satu kenyataan bersama.
"Pemulihan laluan pelayaran yang selamat untuk kapal dari semua negara melalui selat itu merupakan kepentingan masyarakat antarabangsa."
Kedua-dua pemimpin itu berkata Oman bersetuju untuk bekerjasama dengan London dan Paris bagi memastikan laluan selamat melalui perairan wilayahnya.
Mereka turut memaklumkan bahawa kedua-dua kuasa Eropah itu bersedia menerajui misi ketenteraan pelbagai negara yang lebih besar bagi menyokong kebebasan pelayaran di kawasan berkenaan.
"United Kingdom dan Perancis menegaskan semula komitmen bersama mereka terhadap kestabilan serantau, penghormatan terhadap kedaulatan semua negara, serta kesediaan untuk terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan mereka dalam usaha mempertahankan keselamatan global, kebebasan pelayaran dan undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan ketika ketegangan dengan Tehran semakin memuncak. Iran berulang kali menegaskan akan menolak sebarang penglibatan kuasa asing dalam operasi maritim di Selat Hormuz, selain memberi amaran kepada kuasa luar rantau supaya tidak mempamerkan kekuatan ketenteraan di kawasan itu.
Pegawai Iran secara konsisten menegaskan bahawa keselamatan laluan perairan itu merupakan tanggungjawab eksklusif negara-negara pesisir yang bersempadan dengannya.





