PRN JOHOR | Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata bahawa kehadirannya di Johor di tengah kempen pilihan raya negeri (PRN) adalah untuk melindungi pelaksanaan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
Berucap di kempen ‘Internet Selamat’ anjuran Kementerian Belia dan Sukan di bawah program ‘Genk Madani’ di Tampoi, Anwar juga menegaskan bahawa dua tidak berniat untuk bertelagah dengan mana-mana pihak.
"Pilihan raya ini cara kita mahu tolong. Johor tak ditolong? Ada. Duit banyak dari persekutuan. Tapi kadang-kadang cakap sombong. Saya bukan datang untuk gaduh-gaduh. Saya datang untuk bagitahu.
"Kita ada suara. Undilah. Pintar sedikit. Kalau kita tak jaga kita siapa mahu jaga? You fikir orang kaya-kaya mahu jaga kita? Kita sendiri mesti fikir anak kita cucu kita macam mana nanti," katanya.
Anwar tidak menyebut sebarang nama tetapi peringatan pengerusi Pakatan Harapan itu susulan kenyataan menteri besar sementara Onn Hafiz Ghaz mengenai pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Tanpa menamakan pesaing pilihan raya Pakatan Harapan (PH) di Johor, Anwar juga menggesa kira-kira 400 hadirin untuk memberi lebih banyak masa kepada gabungannya.
"Bagi masa sikit. Dulu mereka perintah berapa tahun? 60 tahun lebih. 65 tahun dia perintah.
"Kita mahu bagi betul. Dua tahun, tiga tahun. Semua mesti betul," katanya.
Dia seterusnya menyenaraikan dasar-dasar peringkat persekutuan yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk pelbagai bentuk bantuan tunai langsung.
“Dalam tempoh tiga tahun ini, kami telah memperkenalkan Sumbangan Tunai Rahmah dan SARA.
“Adakah sesiapa di sini menerima SARA? Adakah anda perlu beratur? […] Bolehkah ia ditambah? Ya, boleh. Tetapi saya tidak boleh mengumumkannya sekarang,” katanya sambil berseloroh.
Dalam ucapannya, Anwar turut memuji kehadiran Menteri Belia dan Sukan Taufiq Johari, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sumber Manusia R Ramanan, dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai.
Majlis anjuran Majlis Belia Malaysia itu diadakan di kawasan Bukit Batu di bawah parlimen Kulai, di mana penyandang PKR, Arthur Chiong, akan cuba mempertahankan kerusinya dalam pertandingan lima penjuru menentang BN, Bersama, Muda dan calon bebas.





