Malaysia sekali lagi menjadi pilihan penerbit antarabangsa apabila sebuah filem terbitan negara Arab berjudul Mr VIP dilaporkan sedang menjalani penggambaran di ibu negara.
Filem tersebut dibintangi aktor popular Mesir, Karim Abdel Aziz, dan pelakon jelita, Yasmine Sabri, selain diterbitkan oleh syarikat produksi gergasi dunia perfileman Arab, Synergy Plus dengan kerjasama Inifinity Films yang diterajui Abdulrahman Suud.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aedy Ashraf Perjelas Imej Buka Baju & Pakai ‘Boxer’ Dalam Filem – ‘Saya Mohon Maaf Andai Ada Yang Kurang Senang’
Mr VIP dapat sokongan penuh kerajaan Malaysia

Lebih menarik, filem yang masih dirahsiakan kos pembikinannya itu turut menerima sokongan daripada kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta beberapa agensi berkaitan.
Antaranya termasuk Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Abdulrahman, yang telah menetap di Malaysia sejak kecil, dia berbangga dapat mempromosikan negara ini ke persada perfileman Timur Tengah.
Boleh dikatakan lebih 40 peratus penggambaran filem ini disiapkan di Malaysia. Malah selepas berakhir penggambaran di sini, proses pos produksi juga bakal diadakan di Malaysia.
Sepanjang tempoh penggambaran, kedua produksi cuba ‘mengeksploitasi’ keindahan Malaysia sekali gus mempromosi pelancongan dan mempamerkan keindahan Malaysia serta rakyatnya.
Kami harus berterima kasih kerana semua ini dapat direalisasikan dengan sokongan MOTAC untuk memastikan kelancaran projek mega ini.
Tambahan pula, Malaysia dan Mesir sudah menjalinkan hubungan diplomatik yang erat sejak sekian lama. Ia juga mendorong kami untuk menumpukan perhatian kepada Malaysia sebagai bukti kasih sayang yang dikongsi antara kedua-dua negara.
Mahu lebih banyak produksi Arab datang ke Malaysia

Dalam pada itu, Abdulrahman berharap kerjasama antara industri perfileman Malaysia dan negara Arab dapat diteruskan pada masa akan datang.
Kalau boleh selepas ini, kami mahu syarikat penerbitan filem dan TV Arab terus menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama penggambaran. Moga jalinan ini akan terus ada kesinambungannya.
Saya lakukan semua ini juga atas kecintaan terhadap Malaysia. Negara ini bagai sebati dalam diri dan kecintaan terhadap Malaysia tiada belah bahagi. Saya datang ke sini ketika berusia lapan tahun. Sebelum itu saya menetap di Jepun dan India.
Selepas ibu bapa menerima tawaran bekerja di KL, kami sekeluarga berpindah ke sini pada 1992. Saya bersekolah dan mencari rezeki di Malaysia. Setiap kali meninggalkan Malaysia, pasti saya tidak sabar untuk kembali.
Mengulas mengenai penggambaran yang berlangsung secara privasi di Kuala Lumpur, Abdulrahman berkata ia merupakan kehendak pihak produksi.
Memang agak ketat sebenarnya cara dan polisi kerja produksi filem ini. Ia juga didorong dengan sebab kemasyhuran aktor otai, Karim Abdel Aziz. Beliau dianggap sebagai bintang nombor satu di sana dan mampu menarik peminat serta penonton untuk serbu ke pawagam.
Pendek kata, pelakon berkenaan antara pelaris dan paling mahal di sana. Malah gambar atau ‘footage’ penggambarannya di set atau lokasi juga tidak boleh didedah atau dikongsi sewenang-wenangnya.
Menurut Abdulrahman lagi, penggambaran Mr VIP di Malaysia membabitkan seramai 220 kru tempatan dan 33 kru dari Mesir termasuk para pelakonnya.
Dalam filem bercorak komedi sosial ini, Karim dan Yasmine berlakon sebagai pasangan suami isteri. Ia juga menjadi gandingan kedua mereka bersama. Pelawak terkenal Mesir, Mostafa Khater turut membintangi filem ini.
The post Karim Abdel Aziz & Yasmine Sabri Berlakon Filem ‘Mr VIP’, Malaysia Dipilih Sebagai Lokasi Penggambaran first appeared on OHBULAN!.





