Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengamalkan diskriminasi politik atau meminggirkan mana-mana negeri dalam menyalurkan peruntukan dan membawa masuk pelaburan, sebaliknya memastikan manfaat pembangunan dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat, kata Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) berkata komitmen itu terbukti apabila Johor merekodkan jumlah pelaburan pasaran yang tinggi mencecah RM110 bilion pada tahun lepas, sekali gus menunjukkan kerajaan sentiasa mengutamakan potensi ekonomi dan keperluan pembangunan bukannya warna politik sesebuah negeri.
“Contohnya, kita sebagai MIDA apabila pergi ke Tokyo, Osaka (Jepun), China, atau Seoul (Korea Selatan), kita tidak pernah berkata bawa (pelaburan) ke Selangor atau bawa ke Pulau Pinang hanya kerana dua negeri berkenaan di bawah pentadbiran PH (Pakatan Harapan). Kita tidak melihat perkara itu dari sudut sedemikian.
“Yang penting bagi kita ialah kita nak pastikan pembangunan ini dirasai oleh semua rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Libat Urus Bersama Pemain Industri Daerah Segamat di Segamat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas persepsi segelintir pihak kononnya fokus kempen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya di kawasan utara negeri itu mempunyai motif politik tertentu berbanding di kawasan selatan.
Tengku Zafrul menjelaskan kekerapan lawatan kerja kepimpinan kerajaan Persekutuan ke kawasan utara Johor merupakan satu pengiktirafan rasmi bagi merapatkan jurang pembangunan berikutan kawasan berkenaan kurang mendapat perhatian sebelum ini.
”Untuk berlaku adil, Perdana Menteri memberi fokus kepada semua negeri dan semua bahagian di Johor, bukan sahaja utara atau selatan.
“Tetapi ia adalah pengiktirafan oleh Perdana Menteri bahawa kawasan utara ini kurang mendapat sokongan atau perhatian daripada Kerajaan Negeri Johor sebelum ini. Sebab itu kita mulakan siri jelajah di utara Johor untuk menunjukkan kita mahu pembangunan di setiap peringkat dan kawasan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata dakwaan kononnya kerajaan Persekutuan meminggirkan pentadbiran negeri hanyalah kenyataan politik yang bertujuan mewujudkan persepsi negatif.
Beliau berkata kejayaan lonjakan ekonomi luar biasa di Johor ketika ini didorong oleh kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
Johor sedang melalui PRN dengan pengundian pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.





