Najib Razak hari ini menafikan dakwaan bahawa projek 1MDB adalah untuk kepentingan dirinya atau parti politik seperti didakwa salah seorang saksi pendakwaan.
Kata bekas perdana menteri itu, keterangan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman, bahawa firma itu ditubuhkan untuk menyalurkan wang kepada firma berkaitan Umno adalah tidak benar.
“Saya sangat tidak bersetuju dengan penegasan (oleh Hazem), 1MDB atau projek terokanya bukan untuk kepentingan saya mahupun untuk Umno," katanya.
Tambah Najib, kelulusan yang diberikan kepada 1MDB adalah menurut cadangan yang dibuat oleh syarikat itu sendiri selepas perbincangan menyeluruh di peringkat lembaga pengarah diadakan.
Katanya mereka diberikan oleh entiti yang sah seperti Aabar Investments PJS dan International Petroleum Investment Company (IPIC) berdasarkan pandangan penasihat yang berkaliber seperti Goldman Sachs, penasihat kewangan Lazard, BSI Bank, dan kumpulan Baker & McKenzie.
“Masalah 1MDB ialah kegagalan sistemik dalam pelaksanaan keputusan di peringkat pengurusan yang bermula dari zaman ia di bawah pengurusan (CEO) Shahrol (Azral Ibrahim Halmi) sehingga Hazem Rahman.
“Saya masih ingat keterangan Hazem Rahman di mahkamah bahawa dia mengaku ditempatkan dalam pengurusan untuk melaksanakan arahan arahan Jho Low.
"Malah dia secara khusus mengakui bahawa berkenaan dengan dana AS$3 bilion dibangkitkan untuk 1MDB Global Investment Limited bahawa beliau ditempatkan di sana sebagai pengarah hanya untuk menandatangani setiap dokumen yang diletakkan di hadapannya mengikut arahan Jho Low dan proksinya (penasihat am 1MDB ketika itu) Jasmine Loo, dan (Pengarah Eksekutif Kewangan 1MDB ketika itu) Terence Geh," katanya lagi.
Najib memberi keterangan tersebut dalam perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion terhadapnya di Mahkamah Tinggi Lumpur.
Najib berhujah dia tidak mempunyai pengetahuan mahupun penglibatan dalam salah laku di 1MDB, dan semua penyelewengan melibatkan syariikat tersebut didalangi oleh Jho Low dan ahli pengurusan dana itu.
Bagaimanapun, pendakwa raya mendakwa tindakan Jho Low di 1MDB dibuat dengan restu Najib.
Pada 30 Okt lalu mahkamah memerintahkan Najib membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana daripada 1MDB.
Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Hakim memutuskan Najib perlu menjawab pertuduhan berikutan kekuatan pelbagai 50 keterangan saksi semasa peringkat prosiding pendakwaan yang berlangsung enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019.
Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.





