Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng mengulangi gesaan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah agar SPRM menyiasat keputusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menjual pegangannya di Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) pada harga yang lebih rendah dan membelinya semula pada harga premium dalam tempoh singkat.
“Tiada orang yang rasional akan menjual rendah dan membeli tinggi, terutamanya apabila pelaburan KWSP diuruskan oleh golongan profesional.
"Sekiranya kesilapan asas sedemikian dibuat, ia tidak boleh diterima," tambahnya dalam satu kenyataan.
Tan juga menyuarakan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Presiden MCA Wee Ka Siong sebelum ini, mempersoalkan mengapa KWSP tergesa-gesa melepaskan pegangannya dan siapa yang bertanggungjawab terhadap keputusan itu.
Dia berkata dana KWSP mewakili simpanan persaraan hasil titik peluh berjuta-juta rakyat Malaysia dan sebarang keputusan pelaburan mesti mematuhi piawaian ketelusan dan akauntabiliti yang ketat.
“Kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan mesti memberikan penjelasan yang munasabah untuk kejadian ini.
“Lebih penting lagi, SPRM mesti segera campur tangan untuk menentukan sama ada terdapat sebarang penyalahgunaan kuasa, konflik kepentingan atau aktiviti haram dalam transaksi ini,” tambahnya.
Jumaat lalu, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan transaksi itu sebagai tidak logik dan tidak boleh diterima serta mempersoalkan sama ada KWSP telah menerima arahan daripada mana-mana pihak luar atau sebaliknya.
Mengenai harga transaksi saham MAHB pada 2023, KWSP menjelaskan bahawa julat harga RM5.40 hingga RM7.36 seunit yang disebut sebelum ini adalah merujuk kepada soalan yang dikemukakan di parlimen oleh seorang ahli parlimen.
"Semakan terhadap semua transaksi sepanjang tahun 2023 mengesahkan bahawa julat harga sebenar ialah RM6.80 hingga RM7.70 sesaham.
“Jumlah keuntungan direalisasikan daripada transaksi ini ialah RM102 juta, merangkumi keuntungan modal serta dividen yang dijana oleh pengurus dana dalaman dan luaran," katanya.
KWSP berkata, angka awal RM100.7 juta yang dirujuk dalam perbincangan tidak termasuk beberapa dividen yang diterima oleh pengurus luar dan sejak itu telah diselaraskan.
Jelas KWSP pelaburannya dalam MAHB menyumbang kepada prestasi dana itu. Hasilnya, ia dapat mengisytiharkan pembayaran dividen yang lebih tinggi untuk 2023, dengan 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional (berbanding 5.35 peratus pada 2022), dengan jumlah pembayaran RM50.33 bilion; dan 5.40 peratus untuk Simpanan Shariah (berbanding 4.75 peratus pada 2022), dengan jumlah pembayaran RM7.48 bilion.
Tambah KWSP, ia kekal komited terhadap ketelusan dan mengalu-alukan dialog yang membina dengan ahli parlimen, pihak berkepentingan, dan orang ramai untuk memastikan polisinya terus berkhidmat untuk kepentingan negara dan ahlinya.





