Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) akan mengadakan mesyuarat tergempar Jumaat ini bagi membincangkan polemik perkauman dan agama yang berlaku sejak beberapa minggu ini.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam kenyataan bersama hari ini berkata jawatankuasa yang diurusetiakan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu juga akan mengambil langkah-langkah segera dalam menjamin keharmonian rakyat dan negara.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat akan dihadiri oleh wakil-wakil semua agama di Malaysia.
Kedua-dua menteri turut memberi amaran tegas kepada semua individu agar tidak sama sekali mencetuskan polemik perkauman yang lampau sehingga mewujudkan ketegangan sosial dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya di Malaysia.
"Selain itu kedua-dua Menteri juga mengulangi pendirian menggesa agar tidak ada pihak yang mencetuskan perkara menyentuh sensitiviti agama dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua menteri juga menyeru masyarakat supaya sentiasa memupuk dan mengamalkan nilai-nilai hidup murni yang merupakan tanggungjawab setiap rakyat bagi melindungi serta mempertahankan kestabilan dan keselamatan negara daripada sebarang ancaman perbalahan, provokasi serta permusuhan.





