Mesyuarat antara wakil kumpulan antara agama dan dua menteri kabinet, yang pada mulanya dijadualkan hari ini untuk membincangkan kontroversi baru-baru ini berhubung penempatan pegawai agama di jabatan kerajaan, ditangguhkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata mereka sedang mencari tarikh lain yang sesuai dalam masa terdekat untuk kedua-dua menteri hadir.
“Cadangan asalnya pertemuan itu diadakan petang ini namun Pengerusi Bersama dalam Jawatankuasa Harmoni, Aaron Ago Dagang mohon pertemuan itu dibuat sekali dengan beliau.
“Beliau tidak boleh hadir petang ini, kita akan cari tarikh yang sesuai antara saya dengan Aaron untuk kita adakan pertemuan tersebut.
“Pertemuan petang ini akan ditangguhkan dalam masa terdekat,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Dia bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis di Bangi awal hari ini.
Dilaporkan bahawa kedua-dua menteri itu dijadual bertemu dengan wakil Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) hari ini.
Pertemuan itu dirancang untuk mereka menjelaskan kontroversi baru-baru ini berhubung penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) di jabatan kerajaan, satu tindakan yang dibantah oleh MCCBCHST.





