Muda hari ini mempersoalkan MCMC kerana melancarkan siasatan terhadap ahlinya selepas didakwa memuat naik berita palsu terhadap SPRM.
Dalam kenyataan di X, Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz berkata dia telah menonton video penuh oleh Luqman Long dan tertanya-tanya bahagian yang mengandungi kandungan palsu yang didakwa itu.
"Ini video yang disoal siasat. Di mana berita palsunya?
"Saya tengok dari awal sampai hujung. Semuanya fakta yang telah pun dikongsikan pada umum.
"Apa yang galak sangat nak lindungi Azam Baki, nak bazirkan masa pegawai penyiasat, nak takutkan rakyat," katanya dalam catatan media sosial, yang disertakan dengan video yang dimuat naik oleh aktivis politik itu di TikTok.
Dalam klip video berdurasi 5 minit 22 saat itu, Luqman bercakap tentang Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dan kontroversi yang melibatkannya, termasuk isu mengenai pegangan saham dan skandal 'mafia korporat' yang didakwa melibatkan SPRM.
Luqman, yang pernah menjadi ketua penerangan Muda, juga merupakan suami Amira.
Awal hari ini, MCMC mengeluarkan kenyataan yang mengatakan mereka membuka siasatan terhadap seorang individu kerana memuat naik kandungan di TikTok yang didakwa mengandungi berita palsu terhadap SPRM dan Azam.
Ia mengatakan kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta MCMC, yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000, atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya jika didapati bersalah.
Menurut agensi itu, mereka telah merakam kenyataan suspek dan merampas perananti komunikasi untuk membantu siasatan.





