Sesuatu fitnah itu, kata Majlis Ulama Umno Malaysia, bukan sekadar isu kesilapan teknikal sebaliknya membawa kesan jauh lebih teruk termasuk meruntuhkan persaudaraan, mencalar reputasi seseorang dan mencambah kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Mengulas permohonan maaf seorang pemimpin kanan PAS kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, semalam, anggota tertinggi Majlis Ulama Umno Malaysia, Ahmad Izwan Hamzah, berkata ia memberi pengajaran besar kepada pelbagai pihak.
“Dalam dunia yang serba pantas hari ini, sempadan di antara berita sahih dan fitnah sering kali menjadi kabur jika tidak disertai dengan sikap tabayyun (menyemak kebenaran).
“Fitnah bukan sekadar kesilapan teknikal; ia adalah barah yang boleh meruntuhkan ukhuwah, mencalarkan reputasi individu, dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Apabila sesuatu maklumat yang tidak tepat disebarkan, kesannya sukar dipadamkan sepenuhnya meskipun permohonan maaf telah dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Zulkifli Ismail, mengemukakan permohonan maaf kepada Fadhlina, selepas membuat tuduhan kononnya menteri terbabit melarang bertakbir dan membaca Qunut Nazilah sempena Minggu Solidariti Palestin pada 2023.
Selain menjadi pemimpin nombor dua Dewan Ulama PAS Malaysia, Zulkifli juga merupakan Ahli Parlimen Jasin dan Pesuruhjaya PAS Melaka.
Turut mengemukakan permohnan maaf kepada Fadhlina ialah lidah rasmi PAS, Harakah, serta syarikat Galeri Media Serbanika Sdn Bhd.
Penyelesaian itu dibuat di hadapan hakim Hilmiah Yusof yang bersidang di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Dalam prosiding itu ketiga-tiga defendan mengeluarkan kenyataan yang mengundang pelbagai tafsiran dan salah faham sehingga menjejaskan nama baik Fadhlina.
“Oleh yang demikian kami bersetuju menarik balik sepenuhnya secara mutlak dan tanpa sebarang syarat kenyataan-kenyataan tersebut,” kata Zulkifli yang membacakan persetujuan itu bagi pihak semua defendan.

Hakim juga mengarahkan mereka membayar kos RM15,000 kepada Ahli Parlimen Nibong Tebal berkenaan.
Menurut Ahmad Izwan, larangan berdusta ada dibuat Nabi Muhammad SAW melalui hadis baginda.
“Tindakan seorang pemimpin yang menyebarkan maklumat tidak sahih — sama ada secara sengaja atau tidak — bukan sekadar kesilapan komunikasi biasa. Ia adalah satu pencabulan terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat.
“Apabila seorang pemimpin bertindak sebagai lidah fitnah, kerosakan yang timbul adalah berangkai dan mendalam,” katanya.





