29.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 21, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Trump ancam musnah infrastruktur Iran jika rundingan Islamabad gagal

    Shopee Sale

    Amerika Syarikat (AS) menyatakan keyakinan bahawa perundingan damai dengan Iran akan diteruskan di Pakistan dan seorang pegawai kanan Iran berkata Tehran sedang mempertimbangkan untuk menyertai rundingan itu, namun ketidakpastiantetap menyelubungi pada Selasa ketika tempoh gencatan senjata semakin menghampiri penghujungnya.

    Gencatan senjata selama dua minggu susulan peranang yang dicetuskan oleh AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari itu dijadualkan tamat dalam satu atau dua hari lagi, walaupun pelbagai pihak memberikan tempoh yang bercanggah mengenai waktu tepatnya.

    Sesi pertama rundingan 10 hari lalu tidak menghasilkan sebarang persetujuan dan Tehran sebelum ini menolak pusingan kedua pada minggu ini selepas AS enggan menamatkan sekatan terhadap pelabuhan Iran dan merampas sebuah kapal kargo negara itu.

    Namun sumber Pakistan yang terlibat dalam perbincangan itu memberitahu Reuters terdapat momentum untuk rundingan disambung semula pada Rabu dan Naib Presiden AS, JD Vance dijangka tiba di Islamabad.

    Seorang pegawai Iran memberitahu Reuters pada Isnin bahawa Tehran sedang menyemak penyertaannya secara positif tetapi menegaskan bahawa ia sedang menunggu untuk melihat jika syarat-syaratnya dipenuhi, termasuk pengiktirafan haknya untuk memperkaya uranium.

    Sumber Pakistan itu, yang enggan dikenali ketika membincangkan urusan diplomatik sulit, berkata Presiden Donald Trump mungkin hadir, sama ada secara peribadi atau secara maya, jika perjanjian ditandatangani.

    Harga minyak menurun

    Harga minyak menyusut sekitar AS$0.50 dan saham melantun semula di Asia berikutan jangkaan rundingan damai akan disambung semula minggu ini, walaupun saham Eropah tidak berubah. Harga minyak melonjak sekitar 6 peratus pada Isnin berikutan keraguan terhadap rundingan tersebut.

    Seorang komander kanan tentera berkata pada Selasa bahawa Iran bersedia untuk memberikan tindak balas segera dan tegas terhadap sebarang permusuhan baharu, lapor agensi berita Tasnim, manakala duta Iran ke Pakistan, Reza Amiri Moghadam, berkata di media sosial bahawa mana-mana bangsa dengan tamadun yang hebat tidak akan berunding di bawah ancaman atau kekerasan.

    Ketidakpercayaan Iran amat mendalam memandangkan AS telah dua kali melancarkan serangan udara dalam tempoh setahun lalu ketika rundingan sedang dijalankan.

    Ketua perunding Mohammad Baqer Qalibaf lewat Isnin menuduh Trump meningkatkan tekanan melalui sekatan, dengan menyatakan dia terpedaya dalam usaha untuk mengubah meja rundingan menjadi meja penyerahan atau menghalalkan tindakan memulakan peranang semula.

    Tentera Iran berkata sebuah kapal tangki Iran berjaya melalui perairan wilayahnya dari Laut Arab pada Isnin dengan bantuan tentera laut negara itu, walaupun berdepan apa yang disifatkan sebagai amaran dan ancaman berulang kali daripada pasukan petugas tentera laut AS.

    Trump mahukan perjanjian yang akan menghalang kenaikan lanjut harga minyak dan kejutan kepada pasaran saham tetapi bertegas Iran tidak boleh mempunyai cara untuk membangunkan senjata nuklear.

    MENARIK:  Rakaman sidang media Dr M ditayangkan semasa prosiding hina mahkamah

    Dia mahu Iran menyerahkan simpanan uranium yang diperkayabyang dipercayai boleh digunakan untuk membuat kepala peledak nuklear.

    Tehran berharap untuk mengeksploitasi kawalannya ke atas Selat Hormuz bagi mencapai perjanjian yang mengelakkan permulaan semula peranang dan melonggarkan sekatan sambil mengekalkan lebih banyak program nuklearnya, yang menurutnya adalah untuk tujuan aman.

    Trump pada mulanya mengumumkan gencatan senjata akan berlangsung selama dua minggu bermula petang 7 April di Washington, walaupun dia baru-baru ini membayangkan ia berlanjutan sehingga petang Rabu, 22 April, iaitu tambahan 24 jam.

    Sumber Pakistan yang terlibat dalam rundingan itu juga berkata ia akan tamat pada jam 8 malam Waktu Timur pada Rabu, iaitu jam 3:30 pagi Khamis di Iran.

    Iran tuntut pembebasan kapal, kru

    Markas Pemerintahan Pusat (Centcom) AS berkata kapal yang ditahan pada Ahad oleh AS telah melanggar sekatan dan gagal mengendahkan amaran yang diulang selama enam jam.

    China, pembeli utama minyak mentah Iran, menyatakan kebimbangan berhubung pintasan tersebut. Iran menuntut pembebasan segera kapal itu, kru dan keluarga mereka.

    Ribuan orang terbunuh dalam serangan AS-Israel ke atas Iran serta kempen pengeboman dan pencerobohan Israel ke atas Lubnan yang berlaku secara serentak. Perang tersebut telah menyebabkan kejutan bersejarah kepada bekalan tenaga global, dan kebimbangan bahawa ekonomi global boleh ditolak ke kancah kemelesetan.

    Sekatan AS terhadap pelabuhan Iran telah menimbulkan kemarahan Tehran, dan mendorongnya untuk mengekalkan sekatan sendiri di Selat Hormuz, yang lazimnya mengendalikan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli cecair dunia. Pakistan telah melobi Washington untuk menamatkan sekatannya.

    'Mereka akan berunding,' kata Trump

    Trump berkata pada Isnin bahawa Iran akan berunding, dan diharapkan mereka akan membuat perjanjian yang adil, dan mereka akan membina semula negara mereka, tetapi tidak akan mempunyai senjata nuklear.

    Pakistan telah bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah rundingan itu walaupun dalam keadaan tidak menentu. Hampir 20,000 anggota keselamatan telah ditempatkan di seluruh Islamabad, kata pegawainya.

    Trump berkata pada Ahad bahawa AS akan memusnahkan setiap jambatan dan loji kuasa di Iran jika ia menolak syaratnya, dan meneruskan corak ancaman. Iran berkata ia akan membalas serangan terhadap infrastruktur awamnya dengan menyerang jiran-jiran Arab di Teluk.

    Setiausaha Akhbar White House Karoline Leavitt berkata dalam program Hannity di Fox News bahawa perjanjian semakin dekat, hasil kejayaan operasi ketenteraan dan gaya rundingan keras Trump.

    Katanya, jika tidak, presiden, sebagai ketua pemerintah tertinggi, masih mempunyai beberapa pilihan yang sedia ada yang dia tidak takut untuk gunakan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah