Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia berjaya membanteras kegiatan memancing data (phishing) melalui pautan khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam operasi bersepadu semalam.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan suspek ditahan apabila memberhentikan kenderaan di bahu jalan di Cheras, Kuala Lumpur, bagi menyebarkan SMS phishing kepada pengguna talian aktif di kawasan itu.
Kata MCMC, operasi berkenaan dijalankan susulan maklumat daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Maxis.
"Kegiatan suspek dikenal pasti menerusi analisis spektrum oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi bacaan spektrum yang dipancarkan dari peralatan komunikasi milik suspek yang juga menyebabkan gangguan kepada kualiti perkhidmatan rangkaian,” menurut MCMC.
Tambah agensi itu lagi, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemukan peralatan komunikasi seperti telefon pintar, GSM blaster, antena transceiver dan komputer riba yang disambungkan kepada kenderaan berkenaan.
"Semua peralatan berkenaan dipercayai digunakan individu itu bagi menghantar SMS untuk memperdaya pengguna dan ia disita untuk siasatan lanjut," katanya.
Kata MCMC, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233, 238 dan 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Siasatan juga dijalankan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) (Pindaan) 2022 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dan tidak sesekali mengklik pada sebarang pautan dihantar melalui SMS sebagaimana arahan yang dikeluarkan pada tahun lepas bagi melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan.
MCMC juga menyeru orang awam supaya berkongsi maklumat dan melaporkan terus kepada pihaknya atau PDRM jika terlihat kenderaan mencurigakan yang mempunyai penyambungan perananti komunikasi seperti dinyatakan.





