Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan bahawa ahli perniagaan Liow Soon Hee, atau lebih dikenali sebagai Nicky Liow, tidak dibebaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang diambil terhadapnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, AGC berkata Liow didakwa atas 26 pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. Pertuduhan itu difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 12 April 2022.
Menurut AGC, Liow menerusi peguamnya kemudian mengemukakan representasi bertarikh 15 Disember 2022 dan 6 April 2023 bagi memohon supaya kesemua 26 pertuduhan itu dikompaun mengikut Seksyen 92 akta yang sama.
Selepas meneliti representasi tersebut serta bukti yang ada, AGC berkata pihak pendakwaan bersetuju menawarkan kompaun sebanyak RM10 juta, yang telah dipersetujui dan dibayar oleh Liow pada 29 Mei 2023.
Selain daripada itu, penyelesaian tersebut juga merangkumi pelucutan bon berjumlah RM647,366.00 dan pelucutan harta-harta yang disita.
“Lanjutan daripada pembayaran kompaun tersebut, selaras dengan peruntukan seksyen 92 Akta 613, Jabatan ini telah menarik balik pertuduhan terhadap Nicky Liow. Pada 15 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam telah memerintahkan agar Nicky Liow dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” jelas kenyataan itu.
AGC menegaskan keputusan yang diambil itu adalah selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
"Ia juga telah dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan keterangan daripada hasil siasatan secara keseluruhan tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam dengan mengambil kira integriti proses pendakwaan serta keperluan untuk memastikan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah," kata AGC.
Minggu lalu, bekas Ketua PKR Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi, menggesa AGC menjelaskan sebab pihak pendakwaan menarik balik kes terhadap Liow.
Perkara itu timbul selepas peguam Liow, Rajpal Singh, mengesahkan anak guamnya diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dan dibebaskan pada 15 Jun 2023 selepas AGC menerima surat representasi yang dikemukakan Liow.
Rajpal turut memaklumkan bahawa Liow membayar hampir RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelesaikan tunggakan cukai berkaitan pertuduhan mengemukakan borang nyata cukai yang tidak tepat mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967.
Liow sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 26 pertuduhan yang didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Ahli perniagaan itu, yang didakwa atas kapasitinya sebagai pengarah syarikat, berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil pengubahan wang haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
Sehari sebelum mengaku tidak bersalah, Liow, pengasas Winner Dynasty Group, menyerah diri kepada polis selepas lebih setahun menjadi buruan pihak berkuasa.
Pada 7 Julai 2022, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan 14 individu, termasuk dua adik-beradik Liow, daripada pertuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai "Gang Nicky" lima tahun sebelum itu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim selepas Rajpal memaklumkan mahkamah bahawa AGC menerima representasi daripada semua perayu yang memohon supaya mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan susulan perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi.
Nama Liow kembali menjadi perhatian baru-baru ini selepas gambarnya memakai baju Pemuda PKR (AMK) pada satu majlis kutipan dana bersama Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, tular.
Peguamnya kemudian menjelaskan bahawa kehadiran Liow ke majlis itu adalah berdasarkan jemputan terbuka kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan Liow merupakan ahli kepada salah sebuah pertubuhan berkenaan.





