Lim Ting Khai merupakan satu-satunya individu bukan Melayu dalam senarai ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu yang diumumkan baru-baru ini.
Bercakap kepada Malaysiakini, ahli politik berdarah Cina-Kadazandusun dan berasal dari Tawau, Sabah itu berkata dia menyertai Bersatu sebelum ini kerana yakin parti itu dapat merapatkan jurang antara Semenanjung dan Sabah.
"Sebab saya bersama dalam perjuangan dengan parti ini kerana ia berusaha untuk merapatkan jurang antara Sabah dan Semenanjung.
"Ini memberi harapan kepada kami di Sabah bahawa isu-isu kami tidak diabaikan," katanya yang beragama Kristian Katolik.
Bersatu baru-baru ini mengadakan pengundian parti itu bagi penggal 2024-2027.
Dalam pengundian berkenaan, Muhyiddin Yassin menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden, manakala Hamzah Zainuddin, yang sebelum ini merupakan setiausaha agung menang tanpa bertanding bagi jawatan timbalan presiden.
Pemilihan bagi penggal baru ini turut menyaksikan seramai 20 ahli MPT dipilih.
Selain menganggotai MPT, Lim juga merupakan ketua Bersatu bahagian Tawau dan bendahari Bersatu Sabah.
Lim berkata, Bersatu perlu memberi tumpuan kepada dasar yang lebih inklusif bagi menangani isu-isu yang memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia, seperti kestabilan ekonomi, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Ini katanya merupakan salah satu cara untuk menarik minat masyarakat bukan Melayu bersama perjuangan parti itu.
"Penerimaan dan sokongan daripada ahli akar umbi di seluruh negara jelas melihatkan bahawa Bersatu juga mempelawa masyarakat daripada setiap lapisan tanpa mengira bangsa dan latar belakang, untuk memperkasakan dasar-dasar parti," katanya.
Sebelum ini, Lim merupakan anggota BN. Dia bertanding di kerusi DUN Merotai pada 2018 dan memenangi sejumlah 5,557 undi.
Pada 2020, dia bertanding di kerusi DUN Sri Tanjong di bawah Parti Liberal Demokratik. Dia hilang wang deposit dalam pilihan raya berkenaan selepas hanya memperoleh 276 undi.





