Seorang lelaki ditangkap di Utah selepas menikam seorang individu beberapa kali hanya kerana mangsa beragama Islam, menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).
Reuters yang memetik dokumen mahkamah yang didedahkan polis semalam, melaporkan suspek memberitahu bahawa dia "berniat untuk membunuh orang Muslim" dan dia merupakan "bahaya besar kepada orang awam jika dibebaskan berikutan tindakan ganasnya... ideologi serta peranancangan serangan besar-besaran."
Kejadian itu berlaku di pusat beli-belah Valley Fair Mall di West Valley City, Utah pada Isnin. Mangsa seorang lelaki mengalami "beberapa kesan tikaman di seluruh badannya dan mengalami pendarahan teruk," kata polis dalam afidavit.
Pihak berkuasa berkata suspek ditumpaskan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian sebelum anggota polis tiba.

Suspek, Peter Michael Larsen, 48, kemudiannya dimasukkan ke penjara Salt Lake County untuk siasatan atas dakwaan cubaan membunuh dan salah laku senjata berbahaya yang dilarang, menurut rekod penjara pada Selasa. Mangsa merupakan seorang lelaki Islam yang bekerja di sebuah kiosk.
Suspek berkata "dia telah mensasarkan mangsa dengan niat untuk membunuhnya kerana agamanya (Islam)," menurut afidavit polis.
Suspek menghampiri lelaki Muslim itu, bertanya mengenai namanya, agamanya dan menyatakan dia mahu sebotol air, lapor Salt Lake Tribune, memetik kenyataan daripada Imam Shuaib Din, yang memimpin Pusat Islam Utah.
Semasa mangsa berpaling untuk mengambil air, penyerang mula menikamnya, menurut Shuaib.
Mangsa dimasukkan ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. Seorang rakan mewujudkan laman GoFundMe untuknya, yang menyatakan lelaki itu ditikam sebanyak 15 kali dan memerlukan pembezahan.
Penyerang juga dimasukkan ke hospital kerana kecederaan yang dialami semasa dia ditumpaskan oleh orang awam, sebelum dimasukkan ke penjara Salt Lake County.

Penyokong hak asasi Amerika Syarikat (AS) memperlihatkan peningkatan Islamofobia sejak lebih dua dekad lalu berikutan serangan 11 September 2001, dan yang terbaharu disebabkan oleh dasar anti-imigrasi, ketuanan kulit putih dan kesan peranang Israel di Gaza.
Serangan ganas yang membawa kematian dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk seorang kanak-kanak Islam berusia 6 tahun yang ditikam di Illinois pada 2023 yang pembunuhnya dijatuhi hukuman penjara 53 tahun dan meninggal dunia dalam tahanan, serta kes tembakan pada 2026 di sebuah masjid di San Diego yang mengorbankan lima nyawa, termasuk dua suspek remaja.





