Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir sebagai pengerusi agensi berkenaan yang baharu.
Felda dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kewibawaan, integriti dan pengalaman luas Ahmad Badri dalam menerajui organisasi strategik serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Menurut kenyataan itu, kepimpinan beliau diyakini mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecemerlangan pengurusan dan meneruskan agenda transformasi FELDA selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang mampan dan inklusif.
“Ahmad Badri mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor awam dan korporat sejak menyertai perkhidmatan awam di Kementerian Kewangan pada 1989. Sepanjang perkhidmatannya, beliau menyandang pelbagai jawatan strategik termasuk sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dari 2018 hingga 2020,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Ahmad Badri pernah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan menganggotai lembaga pengarah beberapa institusi utama negara termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Kini beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi RHB Bank Bhd dan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), di samping menjadi Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Bhd," menurut kenyataan itu.
Ahmad Badri memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada University of Hull, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Felda yakin di bawah kepimpinan beliau, organisasi akan terus memperkukuh agenda transformasi Kumpulan Felda, meningkatkan kemampanan ekonomi dan mencipta nilai yang lebih besar kepada lebih tiga juta warga peneroka.
“Kepimpinan beliau juga diharap dapat membawa Felda melakar pencapaian baharu demi memastikan kesejahteraan warga peneroka dan kemakmuran generasi masa depan terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.





