Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memfitnah ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menerusi rakaman video, April lepas.
Sofia Rini Buyong, 50, didakwa menfitnah Farhash Wafa Salvador dengan menuturkan bahawa mangsa kini warganegara Turkiye mencuri duit dan menghantar ke luar negara seperti Turkiye dan Afrika.
Kenyataan fitnah yang akan merosakkan nama baik mangsa itu dibuat menerusi rakaman video.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 6.30 petang, 26 April lepas, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia, namun peguam Shugan Raman mewakili tertuduh memohon jaminan RM500 kerana anak guamnya mempunyai penyakit darah tinggi dan diabetis.
“Tertuduh yang tinggal bersama ibunya sejak suami tertuduh meninggal pada 2025 menanggung seorang anak lelaki. Tertuduh juga muflis dan kini tiada pekerjaan tetap.
"Tertuduh di bawah jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jaminan dibayar kepada SPRM sebanyak RM10,000, jadi kesemua wangnya disekat di situ. Jumlah jaminan RM15,000 yang dicadangkan pihak pendakwaan berada di luar kemampuannya," kata Shugan.
Mohamad Fadhly kemudian berkata jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan adalah munasabah berdasarkan pertuduhan dan sekiranya jumlah jaminan terlalu rendah, risiko tertuduh melarikan diri adalah lebih tinggi.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes.





