32.1 C
Kuala Lumpur
Monday, May 18, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Program DPP tak bermakna pelarian akan menetap di Malaysia – Saifuddin

    Shopee Sale

    Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bukan bermakna pelarian akan terus menetap di negara ini, sebaliknya pengurusan golongan itu tetap berakhir dengan tiga ketetapan muktamad iaitu repatriasi, penempatan ke negara ketiga atau pengusiran.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata program perintis yang bermula secara rasmi pada 1 Jan lepas dilaksanakan selaras Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 23 (Semakan 2023) bagi memastikan pengurusan pelarian dan pemohon suaka di negara ini lebih tersusun, terancang dan berperikemanusiaan.

    "Jadi jalan akhir kepada program DPP ini tetap tiga, bukan bermaksud daftar DPP, match (dipadankan) dengan majikan, dia (pelarian) dah selesai, boleh settle down (menetap) di sini, tidak. Penamatnya tetap tiga iaitu repatriasi, penempatan ke negara ketiga dan pengusiran,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) Bidor, di Tapah, hari ini.

    Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban serta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

    Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata pelaksanaan fasa satu Program DPP memberi tumpuan kepada proses Penentuan Status Pelarian (RSD) terhadap pelarian yang kebanyakannya warga Myanmar etnik Rohingya yang sedang ditahan di depot imigresen seluruh negara.

    Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini mengetuai 20 kementerian dan agensi kerajaan untuk merekodkan maklumat, biometrik, pengecaman wajah serta rakaman suara golongan berkenaan menggunakan sistem yang dibangunkan melalui Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) bagi membina pangkalan data domestik yang komprehensif.

    MENARIK:  Umno sudah siap jentera bantu PRN Sabah - Mat Hasan

    “Sebagai permulaan, pelarian ini datang dari pelbagai negara tetapi yang kita dulukan fasa pertama ini untuk etnik Rohingya warga Myanmar melibatkan sejumlah 4,010 orang dengan pecahannya adalah 4,008 warga Myanmar, seorang Sudan dan seorang Syria,” katanya.

    Beliau berkata data komprehensif tersebut turut berpotensi digunakan untuk program padanan kerja melibatkan pelarian umur produktif antara 20 hingga 40 tahun bagi mengisi kekosongan dalam lima sektor ekonomi utama iaitu perkilangan, pembinaan, pertanian, peladangan dan perkhidmatan.

    Langkah itu, katanya, secara tidak langsung membantu mengharmonikan keperluan majikan tempatan dengan dasar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang mengecilkan had siling pekerja asing kepada 10 peratus sahaja atau maksimum 1.7 juta orang daripada keseluruhan kira-kira 17 juta jumlah tenaga kerja negara.

    Mengenai perkembangan di PPKPPS Bidor yang mempunyai kapasiti 400 orang, Saifuddin Nasution berkata setakat ini seramai 101 tahanan warga Myanmar etnik Rohingya membabitkan 100 lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa ditempatkan di situ dengan 78 daripada mereka telah diluluskan sebagai status pelarian di bawah program DPP.

    Beliau berkata Program DPP dijadualkan bakal dilaksanakan secara menyeluruh menjelang awal bulan depan selepas semua saringan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan diperkemaskan oleh pihak berkuasa.

    "Menjelang1 Jun ini, kita akan laksanakan untuk yang kumpulan 4,000 (4,010) tadi. Dari mula dilaksanakan pada 1 Jan sehingga sekarang, kita kena uji sistem, dan lakukan proses tapisan," katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah