Seorang pengarah sebuah agensi kerajaan dan seorang pengurus syarikat direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu kepada sebuah agensi kerajaan negeri bagi pembekalan makan minum serta pembelian am berjumlah RM15,000.
Perintah reman terhadap kedua-dua wanita berumur 40-an itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan antara 6.30 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Melaka.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada 2025 ketika seorang daripada mereka bertugas sebagai timbalan pengarah di sebuah agensi lain.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah mengemukakan tiga invois pembekalan makan minum dan pembelian am dalam sistem ePerolehan bagi tahun kewangan 2025, sedangkan pembekalan dan pembelian tersebut tidak pernah dilaksanakan sebagaimana dalam permohonan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.





