Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menjelaskan istilah “khilaf” yang digunakannya semasa menyambut baik permohonan maaf ahli parlimen Pasir Puteh, Nik Zawawi Salleh tidak merujuk kepada perbahasan dalam konteks fikah.
Malah Timbalan Presiden PAS itu juga membangkitkan persoalan bahawa apa yang disebut setiausaha majlis syura ulama parti itu semasa berceramah di Kuala Terengganu baru-baru ini juga bukanlah melibatkan aspek fikah.
"Sebenarnya kalau kita lihat apa yang dibangkitkan (Nik Zawawi) itu bukanlah perbahasan dalam konteks fikah.
"Sebagai contoh, Sayidina Umar al-Khatab (sebelum memeluk Islam) pernah nak bunuh Rasulullah SAW. Adakah kalau kita cerita mengenai Sayidina Umar nak bunuh nabi (bermakna) kita hina beliau?
“Semua orang tahu itu tidak menghina kerana ia berlaku sebelum Sayidina Umar memeluk Islam.
"Ini bukan bermakna kita membela (Nik Zawawi) dan beliau pun dah minta maaf.
“Saya fikir kita bagi pihak parti terima penjelasan beliau," katanya ketika ditemui selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Semalam, Majlis Ulama Umno Malaysia berpendapat Tuan Ibrahim wajar memberi penjelasan istilah “khilaf” digunakan semasa menyambut baik permohonan maaf Nik Zawawi.
Timbalan pengerusinya, Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata, pada umumnya ada dua maksud di sebalik perkataan “khilaf”, masing-masing dari aspek bahasa Melayu dan istilah fiqh.
Beberapa pihak juga mempertikaikan istilah tersebut dengan menegaskan khilaf merujuk kepada sesuatu isu yang dipertikaikan oleh ulama muktabar silam namun dakwaan dibuat Nik Zawawi ke atas empat Khalifah ar-Rashidin tersebut tidak termasuk dalam perbincangan berkenaan.
Tuan Ibrahim dalam pada itu menegaskan, isu membabitkan penggunaan perkataan “khilaf” tidak perlu diperjelaskan panjang lebar.
Untuk rekod Nik Zawawi sudah memberi keterangan kepada pihak berkuasa di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu hari ini.
Bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu juga berharap apa yang berlaku menjadi pengajaran kepada semua pihak.





