Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mengkritik syarat yang dikenakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi terhadap pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ingin memasuki universiti awam, dengan menyifatkan dasar itu gagal memenuhi prinsip kesaksamaan pendidikan.
Dong Zong berkata pengumuman terbaru kementerian yang membenarkan pemegang UEC dari sekolah menengah persendirian Cina memohon ke universiti awam bersifat “kabur”, selain mengenakan pelbagai sekatan.
Menurut kumpulan itu, langkah berkenaan dilihat sekadar “satu isyarat sambil lewa” yang gagal memenuhi harapan masyarakat Cina.
“Pada zahirnya, ia menerima pemegang UEC ke dalam sistem universiti awam, namun dalam pelaksanaan sebenar, sistem penilaian masih dihadkan kepada kerangka pendidikan kebangsaan.
BACA BERKAITAN:
Ada apa dengan sekolah Cina?
“Pendekatan ini langsung mengabaikan standard akademik UEC yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan meletakkan pemegang UEC di pinggir sistem,” katanya.
Dong Zong menyoal kenapa pemegang UEC yang mempunyai kelayakan penuh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh memohon semua kursus melalui sistem UPUOnline manakala mereka yang hanya menduduki subjek Bahasa Malaysia dan Sejarah di bawah Lembaga Peperiksaan Malaysia dihadkan kepada empat jabatan berkaitan bahasa Cina.
“Mengapa terdapat perbezaan ketara dalam pilihan bidang akademik bagi pelajar yang sama-sama memegang UEC dari sekolah menengah persendirian Cina?
“Apakah rasional mewujudkan dua standard berbeza ini? Pihak berkuasa mesti menjelaskan perkara ini secepat mungkin,” katanya.
‘Model artikulasi terhad’
Kumpulan itu turut mengkritik kementerian kerana gagal menjelaskan kaedah pengiraan merit, selain tidak memberikan maklumat mengenai tarikh permohonan.
“Pihak berkuasa mesti memberikan penjelasan terbuka supaya pelajar dan ibu bapa tidak terus berada dalam keadaan keliru akibat kurangnya ketelusan maklumat,” katanya.
Dong Zong turut berhujah bahawa “model artikulasi terhad” bagi pemegang UEC yang hanya mempunyai kelayakan SPM bagi subjek Bahasa Malaysia dan Sejarah akan mengehadkan peranancangan pendidikan tinggi serta peluang pembangunan pelajar secara serius.
“Masyarakat Cina sejak sekian lama berharap pelajar sekolah menengah persendirian Cina dapat memohon semua jabatan di universiti awam berdasarkan keputusan UEC mereka.
“Penggunaan model artikulasi yang terhad dan meminggirkan UEC ketika ini langsung tidak memihak kepada usaha negara membangunkan bakat,” katanya.
Kumpulan pendidikan itu menggesa kerajaan mengiktiraf sumbangan jangka panjang sekolah menengah persendirian Cina serta “benar-benar melaksanakan kesaksamaan pendidikan dengan fikiran terbuka” bagi membendung penghijrahan bakat negara.
[Baca berita asal]





