Isu banjir di Selangor tidak lagi boleh dianggap sebagai masalah bermusim, sebaliknya ia telah menjadi krisis berulang yang memberi kesan kepada ekonomi negeri itu.
Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar berkata, data menunjukkan nilai kerugian banjir di Selangor meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh setahun walaupun trend kerugian di peringkat nasional menunjukkan penurunan.
Apa yang lebih membimbangkan, data yang ada menunjukkan bahawa ketika nilai kerugian banjir di peringkat Malaysia menurun, Selangor pula mencatatkan peningkatan yang ketara.

"Keadaan ini memberi isyarat jelas bahawa negeri ini masih berdepan kelemahan yang serius dari sudut pengurusan, mitigasi, kesiapsiagaan dan pelaksanaan dasar berkaitan banjir.
"Kerugian keseluruhan banjir di Selangor meningkat daripada RM22.6 juta pada tahun 2024 kepada RM52.9 juta pada tahun 2025.
"Angka ini bukan sekadar statistik. Ini adalah gambaran penderitaan sebenar rakyat yang terpaksa menanggung beban akibat kegagalan masalah asas ini ditangani secara tuntas," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita terhadap kegagalan berterusan kerajaan negeri menangani isu banjir yang masih berlarutan walaupun pelbagai nasihat telah diberikan sebelum ini.
Baginda bertitah, isu banjir bukan perkara baharu malah telah berpuluh kali ditegaskan agar diselesaikan segera, termasuk mencadangkan supaya kerajaan negeri merujuk kepakaran luar seperti dari Belanda bagi mendapatkan kaedah terbaik.
Bagaimanapun menurut baginda, nasihat tersebut seolah-olah tidak dipedulikan dan diibaratkan seperti 'mencurah air ke daun keladi' apabila masalah itu masih berlaku sehingga kini.

"Setiap tahun diperuntukkan bajet bagi mengatasi banjir, namun hasilnya masih tidak memuaskan dan rakyat terus terkesan khususnya di kawasan perumahan di beberapa daerah," titah baginda.
Mengulas mengenai Belanjawan Selangor 2026 yang memperuntukkan RM54.34 juta untuk 17 projek berkaitan banjir, Mohamed Sukri mempersoalkan sejauh mana keberkesanan pelaksanaan projek tersebut di lapangan.
Tegasnya, kewujudan 328 titik panas (hotspot) banjir di seluruh negeri membuktikan bahawa pendekatan lama yang bersifat "tampalan sementara" tidak lagi memadai.
"Rakyat menilai bukan pada jumlah peruntukan semata-mata, tetapi pada hasil sebenar yang dapat dirasai.
"Jika banjir terus berulang dan hotspot terus bertambah, maka kerajaan negeri tidak boleh sekadar berpuas hati dengan pengumuman projek tanpa ukuran pencapaian yang jelas," tambah beliau.
Dalam pada itu, Pemuda PAS Selangor turut menyambut baik saranan Sultan Selangor agar negeri itu meneliti model pengurusan banjir dari negara Belanda.

Menurut Mohamed Sukri, Selangor perlu berani mempelajari teknologi ramalan awal, sistem pam, dan tadahan serta pembangunan bandar berdaya tahan yang dipraktikkan di negara tersebut.
"Negeri semaju Selangor tidak sepatutnya terus terperanangkap dalam isu asas yang gagal diselesaikan dari tahun ke tahun," katanya lagi.





