Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, menegaskan tiada keperluan untuk melantik menteri berasingan bagi bertanggungjawab mengelola hal ehwal bukan Islam di negara ini.
Sebaliknya, Aaron memberitahu pemberita di Kuala Lumpur, semua isu berkaitan hal ehwal bukan Islam boleh dibawa kepada Bahagian Keharmonian Antara Penganut Agama (BKAPA) di bawah kementeriannya.
"Tiada keperluan untuk mewujudkan portfolio menteri yang menjaga hal ehwal agama bukan Islam.
"Ada pelbagai bahagian di bawah kementerian ini (Kementerian Perpaduan Negara) yang boleh menangani isu hal bukan Islam dan ia turut disertai oleh pelbagai pihak termasuk wakil agama," katanya seperti dipetik BH Online.
"Selain BKAPA, kita turut mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) untuk menangani isu sensitif membabitkan agama dan sebagainya.
"Sekiranya ada isu berbangkit, kita akan adakan mesyuarat untuk melihat kepada isu berkaitan, akan berbincang dan cadangkan apa tindakan sepatutnya diambil dan terangkan keadaan sebenar kepada masyarakat," katanya lagi.
Aaron berkata demikian selepas kabinet semalam menolak cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, untuk melantik seorang menteri hal ehwal bukan Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Ketika ini hanya ada satu portfolio di JPM bagi mengelola urusan pentadbiran Islam.
Cadangan Chow, yang dibuat di Dewan Rakyat, mendapat tentangan bukan sahaja daripada pihak pembangkang tetapi juga parti-parti dalam kerajaan.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, meminta Chow menghormati kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, manakala Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, menggambarkan cadangan itu sebagai "tidak praktikal dan tidak perlu".
Sebelum itu, Aaron turut menyertai hampir 300 peserta program Jejak Harmoni antara agama yang melibatkan lawatan ke pelbagai rumah ibadat, yang diadakan sempena Minggu Perpaduan Antara Agama Antarabangsa.





