31.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 30, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kedutaan M’sia padam notis saringan kesihatan pekerja Nepal selepas cetuskan persoalan

    Shopee Sale

    Sistem pemeriksaan kesihatan pekerja Nepal yang mahu bekerja di Malaysia sekali lagi mencetuskan kontroversi, ketika negara itu sedang cuba membuka pasaran saringan kesihatan yang sekian lama dikritik dengan dakwaan monopoli.

    Kontroversi terbaru tercetus selepas satu notis dimuat naik di akaun rasmi Facebook Kedutaan Malaysia di Kathmandu yang dilihat seolah-olah menyokong sistem sedia ada, termasuk penglibatan syarikat tertentu dan hanya membenarkan 36 pusat perubatan menjalankan pemeriksaan kesihatan pekerja migran ke Malaysia.

    Namun, notis bertarikh 18 Mei itu kemudiannya dipadamkan beberapa hari kemudian tanpa penjelasan terbuka.

    Perkembangan itu menimbulkan persoalan kerana ia berlaku ketika Nepal sedang melonggarkan sistem berkenaan dengan membenarkan lebih banyak hospital awam dan swasta menjalankan pemeriksaan kesihatan pekerja migran.

    Berdasarkan kandungan notis yang sempat dilihat Malaysiakini, hanya 36 institusi kesihatan di Nepal dibenarkan menjalankan pemeriksaan bawah Sistem Bio-Medik (BMS).

    Notis itu turut menyatakan caj tambahan sebanyak 3,000 rupee Nepal (kira-kira RM100) dikenakan bagi setiap pekerja.

    “Kedutaan Malaysia di Kathmandu merujuk kepada Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Nepal mengenai pengambilan, pekerjaan dan pemulangan pekerja yang ditandatangani pada 29 Oktober 2018.

    “Selain caj yang dikenakan oleh Kerajaan Nepal, Kerajaan Malaysia telah menetapkan caj perkhidmatan sebanyak NPR3,000,” menurut notis tersebut yang tidak lagi terpapar.

    Dua syarikat, termasuk syarikat Malaysia Bestinet Sdn Bhd, dinamakan sebagai penerima kuasa untuk mentadbir pelaksanaan BMS di Nepal, termasuk pengutipan caj dan penyaluran wang.

    Malaysiakini telah menghubungi dua syarikat itu sejak 22 Mei, namun belum menerima sebarang maklum balas rasmi setakat artikel ini diterbitkan.

    Wisma Putra kesal, tegaskan mereka cuma ‘saluran komunikasi diplomatik’

    Sementara itu, Kementerian Luar Negeri (KLN) pula kesal kerana notis yang dimuat naik oleh pejabat perwakilan Malaysia itu mengandungi maklumat “kurang tepat”.

    Bagaimanapun, Wisma Putra menegaskan mereka hanya berperananan sebagai saluran komunikasi diplomatik, manakala dasar dan pelaksanaan berkaitan pengurusan pekerja asing terletak bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

    “Mengenai hantaran yang dimuat naik di platform media sosial Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pada 18 Mei 2026, pihak KLN mengambil maklum dan kesal berikutan notis awam di laman web sosial pejabat perwakilan yang mempunyai maklumat yang kurang tepat.

    “Notis ini tidak sama sekali mengubah fakta bahawa penentuan dasar, kriteria dan pelaksanaan rasionalisasi agensi perekrutan ini kekal sepenuhnya bawah bidang kuasa dan seliaan Kesuma,” kata kementerian itu kepada Malaysiakini.

    Malaysiakini turut menghubungi pejabat Menteri Sumber Manusia dan Unit Komunikasi Korporat Kesuma sejak 26 Mei untuk mendapatkan komen tetapi masih tiada sebarang jawapan.

    Bercanggah dengan langkah Nepal?

    Menurut laporan portal berita Nepal Ratopati.com, jurucakap Kementerian Buruh, Pekerjaan dan Keselamatan Sosial Nepal, Pitambar Ghimire, sistem lama yang hanya melibatkan sejumlah kecil pusat perubatan sering dikritik kerana mengenakan caj tinggi dan kurang persaingan.

    “Pada masa lalu, hanya sejumlah kecil institusi kesihatan swasta dibenarkan menjalankan ujian ini, satu sistem yang dilihat secara meluas sebagai kartel perdagangan.

    MENARIK:  Waspada, Manjoi dah sekat arak, kata MCA Perak

    “Sistem ini dituduh mengenakan yuran tinggi, menjejaskan kualiti perkhidmatan kerana kekurangan persaingan, dan menjejaskan hak pekerja,” katanya seperti dilaporkan.

    Menurutnya, kerajaan Nepal kini membenarkan laporan pemeriksaan daripada hospital awam dan swasta yang diiktiraf.

    Apa itu BMS?

    BMS ialah sistem dalam talian untuk memantau dan mengurus pemeriksaan kesihatan pekerja asing sebelum memasuki Malaysia.

    Sistem itu dibangunkan oleh Bestinet pada 2013 bersama sistem e-VDR (visa dengan rujukan).

    Penggunaan modul BMS dikuat kuasa pada 2015 sebelum kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian rasmi dengan Bestinet pada 2017.

    Bawah kontrak tersebut, Bestinet dibenarkan mengutip bayaran RM100 bagi setiap permohonan dan menjadi satu-satunya syarikat yang mempunyai hak eksklusif di 15 negara sumber pekerja asing.

    Kontrak itu dilanjutkan setahun lagi oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2021 sehingga Mei 2022, namun tidak diperbaharui selepas tamat tempoh.

    Walaupun begitu, timbul dakwaan bahawa kutipan caj berkaitan BMS masih diteruskan selepas kontrak tamat.

    Ketika itu, Bestinet enggan mengulas lanjut dan meminta soalan dirujuk kepada kerajaan Malaysia.

    Dakwaan kartel dan campur tangan

    Satu sumber kanan kerajaan Nepal memberitahu Malaysiakini bahawa pihak berkuasa negara itu terkejut dengan kandungan notis kedutaan Malaysia tersebut.

    “Ramai pihak di Nepal mentafsirkan notis itu sebagai cubaan melegitimasi kartel yang telah beroperasi selama bertahun-tahun.

    “Notis kedutaan itu dikeluarkan ketika Pejabat Perdana Menteri Nepal dilaporkan sedang meminta fail siasatan daripada kerajaan terdahulu mengenai perkara ini,” katanya.

    Portal berita Nepal Onlinekhabar sebelum ini melaporkan mengenai kehilangan fail siasatan kementerian buruh Nepal berkaitan dakwaan penyelewengan dalam sistem pemeriksaan kesihatan pekerja migran.

    Malaysiakini telah menghantar e-mel kepada Kedutaan Nepal di Malaysia pada 22 Mei untuk mendapatkan komen rasmi.

    Pekerja didakwa tanggung kos sendiri

    Sementara itu, wartawan penyiasatan Nepal, Anil Adhikari, yang mengikuti isu BMS sejak sekian lama, berkata dakwaan monopoli dalam sistem tersebut bukan perkara baru.

    Menurutnya, pekerja Nepal dikenakan sekitar 9,800 rupee Nepal (kira-kira RM335) bagi pemeriksaan kesihatan, tetapi hanya sebahagian kecil digunakan untuk kos perubatan sebenar.

    “Sumber industri mendakwa sekitar NPR3,000 dibayar kepada institusi perubatan, NPR3,000 lagi digunakan untuk mengekalkan mekanisme monopoli, dan hanya RM100 dihantar ke pihak Malaysia,” dakwanya kepada Malaysiakini.

    Anil Adhikari

    Adhikari turut mendakwa walaupun perjanjian buruh menetapkan majikan perlu menanggung kos pemeriksaan, lebih 90 peratus pekerja membayar sendiri.

    Dia juga mendakwa terdapat pekerja yang lulus pemeriksaan di Nepal tetapi kemudiannya gagal pemeriksaan apabila tiba di Malaysia dan dihantar pulang tanpa pampasan.

    “Terdapat juga aduan pekerja dipaksa menjalani pemeriksaan dua atau tiga kali melalui kerjasama antara ejen dan sistem,” dakwanya.

    Adhikari mendakwa, hasil lawatan pemantauan yang dilakukannya tahun lalu ke dua daripada 36 pusat perubatan terbabit turut menimbulkan persoalan mengenai kualiti perkhidmatan dan ketelusan sistem tersebut.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah