Penerbit Jaja Ishak mempertaruhkan barisan pelakon yang pernah berada di puncak populariti iaitu Shahz Jaszle dan Farah Nabilah sebagai teraju utama drama Sepenuh Hati Rindu terbitan TV3.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Jaja Ishak Kurang Gemar Ambil Artis Banyak Syarat, Enggan ‘Outstation’ Cabaran Produksi – ‘Syarikat Kami Banyak Penggambaran Di Pahang’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Jaja Ishak Tak Kisah Dituduh Tumpang Populariti Hadie, Ammar & Auddra
Jaja Ishak yakin dengan bakat

Menurut Jaja, dia percaya terhadap kredibiliti dan kekuatan bakat lakonan yang dimiliki Shahz Jaszle serta Farah Nabilah meskipun industri seni kini dibanjiri ramai bakat baharu.
Jelas Jaja, pemilihan kedua-dua pelakon itu bukan dibuat secara sebelah pihak, sebaliknya hasil perbincangan bersama pihak stesen televisyen selain yakin mereka mampu meledakkan naskhah tersebut.
Saya percaya setiap pelakon ada kredibiliti masing-masing. Shahz Jaszle, Farah Nabilah dan Syafie Naswip misalnya, mungkin sudah lama tidak muncul secara berturut-turut di layar televisyen, tetapi mereka masih mempunyai kekuatan.
Saya buat kajian dan berbincang dengan pihak stesen televisyen. Kami melihat nama-nama yang pernah popular suatu ketika dahulu wajar diberi peluang untuk kembali menyerlah.
Saya yakin teori ini mampu meledakkan drama yang sedang kami hasilkan. Kami gabungkan pelakon baharu, pelakon pembantu berpengalaman, lokasi fresh dan pasukan produksi yang bekerja bersungguh-sungguh bagi menghasilkan karya terbaik.
Populariti bukan jaminan

Tambah Jaja, populariti di media sosial bukanlah penentu utama kejayaan sesebuah drama.
Sebaliknya, gabungan jalan cerita yang kuat, sistem sokongan yang baik serta bantuan daripada rakan-rakan media mampu memastikan sesebuah karya mendapat tempat di hati penonton.
Setakat ini, drama-drama terbitan saya walaupun dibarisi pelakon baharu atau mereka yang tidak mempunyai jutaan pengikut di media sosial, Alhamdulillah tetap mendapat sambutan.
Kalau kita ada niat yang baik, sistem sokongan kukuh, bantuan rakan-rakan media dan jalan cerita menarik, saya percaya drama itu mampu berdiri setanding karya terbitan penerbit lain.
Dalam pada itu, Jaja mengakui lebih selesa menghasilkan naskhah yang mengetengahkan kisah kemasyarakatan dan realiti kehidupan berbanding mengikut trend drama tempatan yang sering memaparkan watak CEO, golongan berada serta latar kemewahan.
Katanya, pendekatan itu dipilih kerana pengalaman membesar di kampung menjadikan dirinya lebih dekat dengan kehidupan masyarakat biasa.
Saya bukan tidak suka sebab mahu membangkang, tetapi saya sendiri dilahirkan dan tinggal di kawasan kampung.
Saya suka cerita-cerita begini sebab memang dekat dengan masyarakat. Jadi, apabila masyarakat menonton, mereka boleh kaitkan cerita itu dengan diri sendiri.
Drama Sepenuh Hati Rindu yang bakal disiarkan sebanyak 20 episod mengangkat isu kehilangan seseorang serta impaknya terhadap institusi kekeluargaan, di samping memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai situasi yang jarang dibincangkan.
Selain Shah Jaszle dan Farah Nabilah, drama ini turut dibarisi pelakon hebat seperti Syafie Naswip, Raja Azmi, Lan Siro, Niswah Syuhada dan Ira Ma.
The post [VIDEO] Jaja Ishak Pertaruh Shahz Jaszle & Farah Nabilah, Yakin ‘Sepenuh Hati Rindu’ Bakal Meledak first appeared on OHBULAN!.





