Muda akan mengadakan bertemu dalam kalangan pimpian parti itu hari ini untuk memuktamadkan keputusan sama ada akan menyertai jerayawara anjuran PN atau sebaliknya.
Menurut pemangku presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz, ada kebimbangan dalam kalangan ahli akar umbi ekoran penyertaan bekas presiden mereka, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dengan PN.
Sesetengahnya juga, kata Amira Aisya, menunjukkan rasa kurang senang.
Pada masa sama Adun Puteri Wangsa itu juga mengakui mereka tidak tahu-menahu lebih awal mengenai rancangan PN untuk membawa Syed Saddiq menyertai jerayawara tersebut.
"Saya dan Syed Saddiq sama-sama terkejut apabila Muhyiddin Yassin membuat pengumuman itu," katanya kepada media selepas menghadiri forum berkenaan rasuah di Kuala Lumpur semalam.
Minggu lalu, Muhyiddin mengumumkan rancangan PN untuk menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan mengenai isu-isu semasa dengan disertai Syed Saddiq.
Untuk rekod Muhyiddin merupakan Pengerusi PN sekali gus Presiden Bersatu. Sebelum insiden Langkah Sheraton dan kemudian menubuhkan Muda, Syed Saddiq merupakan ketua Pemuda Bersatu.
Syed Saddiq sendiri sudah menyatakan kesediaan menyertai jerayawara PN berkenaan atas dasar ia melibatkan "isu-isu rakyat".
Ahli Parlimen Muar itu juga menegaskan langkah tersebut tidak bermakna dia menyokong blok pembangkang terbabit.
Pada masa sama selepas Muhyiddin membuat pengumuman 'mengejut' itu Muda menegaskan mereka tidak dibawa berbincang sebelum keputusan tersebut diambil.
Amira juga mengulangi penegasan bahawa ketika ini Muda hanya terlibat dalam kerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM).





