Orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi boleh berbuat demikian di Masjid Negara, dari 11 pagi hingga 1 tengah hari esok.
Menantu Allahyarham Khairy Jamaluddin berkata jenazah selepas itu akan dibawa ke Makam Pahlawan untuk dikebumikan.
"Jadi selepas ini, jenazah Tun Abdullah akan dibawa (dari IJN) ke kediaman beliau di Kuala Lumpur dan pada esok pagi, jenazah akan dibawa ke Masjid Negara.
"Sesiapa yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Pak Lah (Tun Abdullah) bolehlah datang ke Masjid Negara," katanya pada sidang media selepas menuntut jenazah Tun Abdullah di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, malam ini.
Turut hadir anak Allahyarham Tan Sri Kamaluddin dan Nori yang juga isteri Khairy.
Abdullah meninggal dunia di IJN pada 7.10 malam ini pada usia 85 tahun.





