Menteri Pelancongan Tiong King Sing membidas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, mengingatkannya agar tidak menjadi seperti pembangkang atau kumpulan ekstremis.
Tiong berkata ini bukan kali pertama Akmal, yang juga exco Melaka memainkan isu perkauman dan agama.
Mengenai isu bak kut teh yang dibangkitkan Akmal, Tiong menjelaskan ia hanyalah satu daripada 10 hidangan baru yang termasuk dalam senarai makanan warisan negara.
"'Bak' merujuk kepada daging. Saya telah beberapa kali menekankan bahawa herba yang digunakan adalah halal. Jenis daging yang digunakan boleh bertukar.
"Boleh tambahkan ayam, maka ia akan menjadi 'chi kut teh'. Jika anda tambahkan makanan laut ia menjadi 'seafood kut teh'. Jika anda tambah kambing, ia menjadi 'kambing kut teh," kata Tiong.
Sedangkan, kata Tiong, sebelum ini Akmal banyak kali menyebut 'babi bak kut teh'.
“Sebagai seorang pemimpin generasi muda, anda harus menilai dan menganalisis sebelum bercakap kepada khalayak ramai.
“Jangan menjadi seperti pembangkang atau kumpulan ekstremis. Jangan reka cerita tanpa asas,” katanya.

Akmal sebelum ini menggesa Tiong dipecat berikutan beberapa isu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Akmal berkata ini termasuk cadangan untuk bak kut teh dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara, serta penurunan pangkat ketua pengarah Tourism Malaysia Ammar Abd Ghapar.
"Daripada mengiktiraf bak kut teh menjadi hidangan warisan negara lebih baik mengiktiraf makanan lain seperti nasi goreng Cina dan banyak lagi makanan yang boleh dimakan oleh semua rakyat di negara ini tidak kira kaum mahupun agama.
"Jika menteri tidak boleh nak berfikir sensitiviti rakyat Malaysia dan apakah relevannya dalam membuat keputusan," kata Akmal lagi.
"Kerana jika ketua pengarah pelancongan diturunkan pangkat sebab prestasi merosot, maka alasan yang sama boleh digunakan kepada menteri yang bukan sahaja merosot, tetapi menteri yang paling teruk dalam sejarah," tegasnya.





