Nurul Izzah Anwar menjelaskan keputusannya melepaskan jawatan timbalan presiden PKR dibuat selepas pertimbangan panjang bagi membolehkannya meneruskan pengajian lanjutan.
Dia berkata langkah berkenaan turut membuka ruang untuknya meneruskan khidmat dan bakti yang tidak semestinya terikat dengan dunia politik.
“Keputusan ini dibuat setelah pertimbangan yang panjang, untuk mengorak langkah baharu dalam meneruskan pengajian lanjutan yang berdiri di atas khidmat dan bakti, serta tidak semestinya terikat dengan dunia politik,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Nurul Izzah turut mengucapkan penghargaan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan parti kerana mengambil maklum keputusannya.
“Alhamdulillah, saya mengucapkan sepenuh penghargaan kepada YAB Datuk Seri Presiden beserta kepimpinan parti kerana mengambil maklum akan keputusan saya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Walaupun melepaskan jawatan berkenaan, Nurul Izzah menegaskan dia tidak akan meninggalkan PKR dan akan terus menyokong perjuangan parti itu.
“Saya akan terus kekal sebagai anggota KEADILAN, memberikan dokongan kepada perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik yang dirangkul saf kepimpinan parti di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim beserta akar umbinya,” katanya.
Dia turut menyatakan keyakinan bahawa Saifuddin Nasution Ismail dan Amirudin Shari mampu melaksanakan amanah yang diberikan kepada mereka.
“Saya yakin Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku timbalan presiden dan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya akan melaksanakan amanah ini dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketekunan dalam menggalas harapan rakyat.
"Saya mendoakan agar setiap urusan mereka dipermudah dalam memikul tanggungjawab ini,” katanya.
Terdahulu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan untuk memberikan cuti sementara kepada Nurul Izzah selepas membincangkan permohonannya untuk berundur daripada jawatan timbalan presiden.
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata cuti itu akan bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.
“MPP turut membincangkan permohonan saudari Nurul Izzah Anwar untuk mengundurkan diri dari jawatan timbalan presiden.
“Namun setelah mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumum,” katanya melalui kenyataan selepas mesyuarat MPP.
Sepanjang ketiadaan Nurul Izzah, Saifuddin yang merupakan naib presiden PKR akan menjalankan tugas-tugas timbalan presiden.
MPP juga bersetuju supaya Amirudin, yang turut memegang jawatan naib presiden, menggalas sepenuhnya tanggungjawab sebagai pengarah pilihan raya PKR.
Nurul Izzah menyandang jawatan timbalan presiden sejak 23 Mei tahun lalu selepas menewaskan penyandang ketika itu, Rafizi Ramli pada pengundian parti di Johor.
Dia dijadualkan merasmikan kongres Wanita dan Angkatan Muda PKR pada 14 Ogos, sebelum cuti sementaranya bermula selepas Kongres Nasional 2026.
“Insya-Allah ketemu jua kita sewaktu Kongres Nasional KEADILAN pada 14-15 Ogos 2026 kelak,” kata Nurul Izzah.
Dia juga merakamkan penghargaan kepada anggota dan pimpinan PKR di semua peringkat, sahabat seperjuangan serta mereka yang bersamanya sepanjang penglibatan dalam parti.
“Terima kasih di atas kepercayaan, teguran, doa dan pengorbanan yang tidak pernah putus,” katanya.





