Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali mempertahankan kritikannya terhadap Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Zuhir Ghazali.
Sheikh Umar menegaskan tegurannya itu bukan mengenai perbezaan pandangan fiqh berhubung amalan tahlil, sebaliknya tindakan menggunakan agama untuk sindiran dan kepentingan politik.
Katanya, dia menghormati sekiranya Wan Muhammad Zuhir berpegang kepada pandangan fiqh yang berbeza dan tidak berniat mencampuri perkara itu.
“Saya hormati jika saudara berpegang kepada pandangan fiqh yang berbeza mengenai amalan tahlil.
"Saya tak mahu masuk campur hal itu. Saya 'ok' sahaja kalau saudara tak setuju tahlil arwah, menentang program 'Ya Hanana', tak baca qunut Subuh dan sebagainya," katanya pada kenyataan kepada Malaysiakini.
Mengulas lanjut, Sheikh Umar berkata tegurannya tertumpu kepada tindakan menggunakan agama sebagai "alat sindiran dan modal politik".
"Pada saya, tindakan sedemikian amat hodoh dan mencemar nama baik Islam.
"Dalam tradisi keilmuan Islam, perbezaan pandangan fiqh telah lama wujud. Ulama berselisih dengan ilmu dan adab, bukan memperlekeh," katanya.
Menurut Sheikh Umar, agama dan amalan keagamaan perlu dihormati dan tidak sepatutnya dijadikan bahan penghinaan, sindiran atau digunakan untuk mengapi-apikan sentimen negatif.
Dia turut menggesa Wan Muhammad Zuhir memelihara agama dengan akhlak yang baik dan tidak menunggangnya untuk tujuan politik.
"Saudara sendiri yang memuat naik video itu.
"Mungkin kerana pendirian Saudara bahawa tahlil arwah bukan syariat Islam, maka Saudara sanggup memperlakukannya sebegitu," katanya sambil mendoakan kebaikan buat Wan Muhammad Zuhir.
Semalam, Sheikh Umar, yang juga naib pengerusi DAP Johor mengecam tindakan Wan Muhammad Zuhir memuat naik video yang memaparkan sindiran terhadap majlis tahlil melibatkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Sheikh Umar menyifatkan tindakan itu sebagai “tidak bertanggungjawab” dan berisiko mencemarkan imej Islam sebagai agama yang menganjurkan rasa hormat serta pemeliharaan maruah.
Menurutnya, majlis keagamaan seperti bacaan tahlil tidak boleh diperalatkan sebagai bahan ejekan, sindiran atau senjata politik.
Dia berkata tindakan mempermainkan simbol dan amalan agama demi meraih perhatian atau keuntungan politik merupakan perbuatan keji, tidak beretika dan bertentangan dengan nilai Islam.
Biarpun dikecam, Wan Muhammad Zuhir tetap mempertahankan sindirannya itu, berkata tahlil arwah bukan sebahagian daripada syariat Islam dan tiada nas sahih yang khusus daripada Rasulullah SAW mengenai amalan itu.
Jabatan Mufti Negeri Perlis sebelum ini berpandangan bahawa majlis tahlil dengan bacaan dan kaifiat khusus untuk mengingati si mati tidak pernah diadakan oleh Nabi Muhammad SAW.
Bagaimanapun, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyifatkan amalan tahlil, bacaan Surah Yasin dan kenduri arwah sebagai perkara khilafiah, iaitu isu yang mempunyai perbezaan pandangan dalam kalangan ulama.
Jabatan Mufti Negeri Selangor pula menyatakan amalan tahlil arwah termasuk dalam perkara khilafiah.
Menurut penjelasan jabatan itu, mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin adalah harus serta merupakan amalan yang diterima oleh ulama muktabar sejak dahulu. Justeru, amalan itu tidak boleh dihukumkan sebagai bidaah.





